Subsidi RON 95, LPG dan minyak masak kepada B40?

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Adakah kerajaan berhasrat untuk melaksanakan subsidi bahan api petrol RON 95, serta LPG dan minyak masak secara bersasar kepada golongan B40, tanya Datuk Ahmad Amzad Hashim [PN-Kuala Terengganu].

- Advertisement -

Beliau mengajukan soalan itu kepada Menteri Kewangan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ini, katanya memandangkan perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang mengemukakan soalan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini sebagaimana di bawah.

Datuk Haji Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Menteri Pendidikan menyatakan berapa banyak kursus ditawarkan di Kolej-kolej Vokasional dalam program Diploma Vokasional Malaysia dan berapa program atau kursus yang telah mendapat pengiktirafan dari agensi kelayakan MQA dan berapa kursus yang masih belum mendapat pengiktirafan MQA sehingga setakat ini.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk menaik taraf atau membina semula Lebuh Raya Timur Barat FT004 (LRTB) yang telah berusia lebih 40 tahun ini dan sering kali menyebabkan kemalangan maut sejak akhir ini sedangkan ianya adalah jalan utama yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur kepada Pantai Barat seperti Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan sama ada Kementerian bercadang untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram bagi menyerap impak kejatuhan pendapatan para penoreh ketika ini.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status pembinaan jalan Jerantut-Benta yang sepatutnya selesai pada hujung tahun 2020.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan subsidi bahan api petrol RON 95, serta gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak secara bersasar kepada golongan kumpulan B40 di negara ini memandangkan perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana Kerajaan.

Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam mengurangkan lambakan beban tugasan guru sehingga menyukarkan guru-guru untuk fokus kepada tugasan hakiki mengajar anak murid.

Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan peranan Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan terhadap agensi-agensi di bawahnya seperti NAFAS, Lembaga Pertubuhan Peladang serta Pertubuhan Peladang Kawasan bagi memastikan agensi ini mampu mempunyai kepakaran dalam penghasilan produk makanan haiwan ternakan dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran untuk kegunaan pengusaha perternak seperti ayam daging, ayam telur dan ternakan lembu.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Kewangan menyatakan usaha Kerajaan dalam membantu rakyat yang terbeban dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta langkah yang telah diambil untuk mengawal kadar inflasi di negara ini.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Pendidikan menyatakan tahap kesediaan penerimaan institusi pendidikan terutama sekolah kepada golongan kelainan upaya (OKU) dan adakah terdapat program komprehensif kepada golongan ini.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Kerja Raya menyatakan:-

(a) langkah Kerajaan bagi menyelamatkan kontraktor Bumiputera daripada gulung tikar memandangkan 50% daripada kontraktor G1 kini dalam keadaan nazak; dan

(b) Kerajaan bersedia untuk mengawal selia harga bahan binaan yang melambung sehingga 30% ketika ini yang turut menjadi penyumbang utama kepada kontraktor nazak.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan:-

(a) berapa jumlah eksport telur ayam dan jumlah hasil pengeluaran keseluruhan setiap suku tahun oleh syarikat- syarikat tempatan bermula 2018 hingga akhir Februari 2023; dan

(b) mengapa Kerajaan PH-BN mengimport telur dari India yang harganya lebih mahal dan saiz telur lebih kecil serta syarikat manakah yang mendapat AP import telur, bagaimana mereka dipilih dan berapa lama AP ini berkuat kuasa.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan:-

(a) jaminan Kementerian terhadap sumber beras negara kesan ragam iklim yang akan menyebabkan hasil padi merosot; dan

(b) apakah perancangan Kementerian untuk memastikan sumber padi dalam negara mencukupi.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Kerja Raya menyatakan sama ada Kementerian akan meneruskan pembinaan Jalan Kampung Keruak ke Gua Musang melalui Gunong Bongsu yang telah terbengkalai sejak 9 tahun lepas bagi memberi kemudahan kepada penduduk pedalaman Hulu Besut memasarkan hasil pertanian dan menjadi jalan alternatif kepada penduduk sekitar Besut untuk ke Ipoh dan Kuala Lumpur.

Tuan Che Alias bin Hamid [Kemaman] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi menghentikan serta-merta eksport telur ayam keluar negara oleh kartel dalam menyelesaikan isu kekurangan bekalan telur di pasaran.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah rancangan Kerajaan sebagai projek alternatif selain kolam Bukit Merah yang menjadi sumber bekalan air sawah supaya bekalan air sentiasa mencukupi di daerah Kerian.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan perancangan bagi kemudahan lampu jalan solar di laluan FT061 Jalan Batu Hampar – Changkat Jering, FT060 Jalan Batu Hampar – Changkat Jering, FT0074 Jalan Kuala Sepetang – Taiping, FT0001 Jalan Ipoh – Butterworth dan FT3146 Jalan Industri ke Kamunting dalam Parlimen Bukit Gantang. Ini kerana laluan ini gelap, selekoh merbahaya dan juga ancaman lembu dan kerbau yang melintas di waktu malam.

Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk mengkaji semula kadar elaun sara hidup nelayan.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah pihak Kerajaan bercadang untuk mewujudkan kontrak-kontrak perjanjian yang patuh syariah di dalam sistem perolehan dan tender Kerajaan.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Kewangan menyatakan berapakah jumlah rizab negara pada 31 Disember 2022 dan apakah trend pertambahan atau penyusutan jumlah tersebut menjelang pada hujung tahun 2023.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah jenis rancangan pembangunan nelayan yang ditawarkan termasuk kepada nelayan di Parlimen Merbok supaya mereka lebih berpengetahuan dan berkemahiran dalam aktiviti penangkapan ikan sekaligus meningkatkan lagi pendapatan isi rumah mereka.

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pendidikan menyatakan pendirian terkini Kementerian berhubung pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate (UEC).

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah tindakan segera Kerajaan bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan mendadak Overnight Policy Rate (OPR) yang mengakibatkan lebih ramai rakyat menderita dan terbeban sehingga berdepan risiko bankrap.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan adakah Kementerian telah membuat semakan lengkap seperti kajian impak terhadap kelangsungan survival nelayan yang terlibat di sepanjang kawasan tambak laut Melaka dan Pulau Pinang serta apakah insentif yang diberikan kepada mereka yang terlibat.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah punca kelewatan bekalan baja kepada petani-petani dan nyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah tersebut.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Pertanian  dan Keterjaminan Makanan menyatakan perancangan dan sasaran pihak Kerajaan dalam membantu para nelayan di seluruh negara:-

(a) berapakah jumlah peratusan hasil perikanan semasa dan sasaran dalam masa 10 tahun akan datang; dan

(b) apakah langkah-langkah yang sedang dan akan diambil bagi meningkatkan sumber bekalan perikanan laut negara.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan status cadangan yang telah diputuskan dalam Majlis Sosial Negara yang lalu berkaitan usaha membela nasib alumni institusi Kanak-Kanak JKM yang sebatang kara.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Kerja Raya menyatakan tatacara pengendalian piawai SOP berkaitan pengawalan cerun di seluruh negara.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan strategi pengeluaran tempatan dan penyimpanan stok beras padi sebagai persediaan negara dalam menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan dunia yang dijangka berlaku pada 2025.

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Kerja Raya menyatakan peruntukan dan projek-projek yang telah dan akan dilaksanakan di Kuala Kangsar. Adakah Kementerian berhasrat untuk melibatkan Ahli Parlimen tanpa merujuk kepada parti dalam merancang pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Parlimen tersebut. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -