KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk mengemukakan pendekatan terbaik bagi memastikan peruntukan sampai dengan lebih cepat sekiranya berlaku insiden ad hoc seperti tanah runtuh.
Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin, menyuarakan kebimbangan berikutan jalan raya di kawasannya sering rosak akibat banjir dan baru-baru ini berlaku tanah runtuh.
“Saya ingin bertanya kepada pihak menteri bagaimana proses atau pun SOP yang boleh ditambah baik untuk membolehkan peruntukan sampai lebih cepat untuk membolehkan jurutera daerah dan jurutera jalan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di sana,” katanya dalam soalan tambahan ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada setiap jurutera daerah di seluruh negara bagi menangani sebarang isu ad hoc seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jerantut.
“Kita nak pastikan RM100,000 ini, kita nak buat ketetapan bahawa kita boleh melakukan kerja-kerja merbahaya.
“Kadang-kadang kita lihat dalam televisyen, lubang ini yang melibatkan kemalangan, jadi kita akan baiki dengan segera,” katanya.
Khairil Nizam yang Ketua Penerangan PAS Pusat sebelum ini meminta kerajaan menyatakan status pembinaan jalan Jerantut-Benta yang sepatutnya selesai pada hujung tahun 2020. – HARAKAHDAILY 28/2/23