SANDAKAN: PAS perlu membawa pendekatan ‘Budaya politik matang dan sejahtera’ (BPMS) sebagai teras asas bagi menangkis salah tanggapan terhadap parti itu di Sabah.
Yang Dipertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid berkata, pendekatan politik dan dakwah yang memahami susur galur masyarakat pelbagai kaum di Sabah dalam acuan Fiqh Sabahi adalah sebahagian daripada kebijaksanaan yang perlu digembleng oleh ahli-ahli parti itu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Sandakan kali ke-33 di sini, kelmarin.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah berkata, kebersamaan PAS dengan parti-parti politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah suatu peluang bagi menggerakkan kekuatan rakyat dengan kerajaan yang dibina.
Menurutnya, kejayaan tersebut juga menjadi laluan buat PAS untuk menyampaikan dakwah dan politiknya dalam kalangan rakyat khasnya bukan Muslim,
“PAS harus berani mendepani cabaran baharu dengan membina kekuatan parti agar parti-parti lain melihat PAS serta menghormati jemaah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2023