HATAY, Turkiye: Dua gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye pada 6 Feb lalu telah menyebabkan kerosakan fizikal dengan kerugian terkumpul mencecah kira-kira AS$34.2 bilion (RM153 bilion).
Bank Dunia dalam kenyataannya pada Isnin (27 Feb), waktu tempatan, berkata, namun jumlah kos pembinaan semula dan pemulihan yang dihadapi negara itu dianggarkan mungkin dua kali lebih tinggi, lapor Reuters.
Pengarah Bank Dunia untuk Turkiye, Humberto Lopes memberitahu media, juga dianggarkan bahawa gempa bumi berkenaan akan mengurangkan sekurang-kurangnya setengah mata peratusan daripada ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Turkiye sebanyak 3.5 peratus hingga 4 peratus pada 2023.
Sementara Naib Presiden Kumpulan Bank Dunia untuk Eropah dan Asia Tengah, Anna Bjerde berkata, keadaan di Syria, yang turut terjejas akibat gempa bumi, adalah ‘benar-benar suatu malapetaka’, yang menambah bahawa anggaran jumlah kerosakan berasingan untuk Syria akan dikeluarkan pada Selasa.
Menurut Bjerde, penilaian awal kerosakan untuk Turkiye sebanyak AS$34.2 bilion itu adalah bersamaan dengan kira-kira 4 peratus daripada KDNK negara itu pada 2021, tetapi ia tidak termasuk kesan tidak langsung atau sekunder terhadap pertumbuhan ekonominya, atau akibat satu gempa bumi gempa terbaharu yang kuat melandanya seminggu yang lalu.
“Pengalaman kami ialah keperluan pembinaan semula boleh mencapai setinggi dua hingga tiga kali ganda daripada anggaran kerosakan fizikal langsung,” katanya.
Gempa bumi terbaharu, ragut nyawa
Gempa bumi pada 6 Feb lalu dengan magnitud 7.8 dan 7.5 magnitud adalah yang paling maut dalam sejarah Turkiye moden dan mengorbankan lebih 44,300 nyawa penduduk di 11 wilayah terbabit di selatan negara itu.
Dua gempa bumi kuat itu telah diikuti oleh lebih 7,500 gegaran susulan, mewujudkan bencana seumpama itu yang terbesar pernah melanda Turkiye dalam tempoh lebih 80 tahun.
Gempa bumi terbaharu pula melanda Turkiye semalam, Isnin (27 Feb) berukuran 5.6 magnitud pada skala Richter melanda di bandar Yesilyurt dalam wilayah Malatya, di timur Turkiye mengorbankan seorang penduduk dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain, serta menyebabkan beberapa bangunan yang rosak akhirnya runtuh, lapor agensi berita, Dawn.
Sementara, laporan Anggaran Kerosakan Pantas Bencana Global (GRADE) Bank Dunia menganggarkan bahawa kira-kira 1.25 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat kerosakan atau runtuh sepenuhnya.
Kerosakan paling teruk berlaku di 11 wilayah di selatan Turkiye yang mempunyai beberapa kadar kemiskinan tertinggi di negara itu, dan turut menempatkan lebih 1.7 juta pelarian Syria – atau kira-kira separuh daripada jumlah penduduk pelarian Syria di Turkiye.
Sehubungan itu, Bank Dunia telah menyediakan bantuan segera sebanyak AS$780 juta untuk Turkiye daripada dua projek sedia ada di negara itu, serta AS$1 bilion bagi projek pemulihan kecemasan baharu. – HARAKAHDAILY 28/2/2023