KUALA LUMPUR: Perbelanjaan subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.3 bilion pada tahun 2022 adalah tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.
Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN – Kuala Terengganu) meminta Timbalan Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk melaksanakan subsidi bahan api petrol RON 95, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak secara bersasar kepada golongan kumpulan B40 di negara ini.
Menjawab perkara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan komited dalam melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar bagi mengurangkan ketirisan.
“Langkah pertama yang diambil adalah melalui pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar pada separuh tahun 2023 apabila sebahagian kos dilepaskan kepada industri, termasuk perbadanan multinasional.
“Melalui langkah ini, kerajaan masih menanggung jumlah subsidi elektrik sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal sebanyak RM14.9 bilion.
“Kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini, katanya, akan memanfaatkan sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa memberi implikasi yang besar kepada kenaikan kos sara hidup. – HARAKAHDAILY 28/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!