KUALA LUMPUR: Terengganu dan juga Kelantan yang merupakan negeri ‘Malay Belt’ sehingga kini masih diperkotak-katikkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam pemberian hasil petroleum.
Dato’ Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) menegaskan, hasil petroleum tersebut adalah perkara besar tanpa mengira namanya royalti, dana khas, wang tunai petroleum atau wang ihsan.
“Adalah di luar igauan saya, YAB Perdana Menteri dari Tambun akan mengulangi perkara yang sama berlaku ketika bayaran tunai kepada negeri ini dinafikan pada tahun 2000 di bawah Barisan Nasional (BN).
“Kerana ketika berkempen dahulu sama ada Perikatan Nasional (PN) ataupun Pakatan Harapan (PH) sama sahaja nadanya daripada segi isu hasil petroleum ini,” ujarnya dalam perbahasan RUU Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, di sini semalam.
Kata beliau, PH sebelum ini malah menjanjikan royalti sehingga 20 peratus di mana ia turut dibahaskan oleh wakil-wakil rakyat dari Sarawak dan juga Sabah, tetapi jawapan Menteri di JPM minggu lalu telah berubah.
“Antara lain menyebut, PETRONAS tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Terengganu selama ini. Ini adalah jawapan yang ada dalam Hansard. Saya rasa ini tidak betul dan mengelirukan Dewan yang mulia.
“Hal ini kerana saya dimaklumkan, sejak tahun 1978 sehingga tahun 2000, lebih RM7 bilion wang hasil petroleum dibayar secara langsung. ‘Direct’ daripada PETRONAS kepada negeri Terengganu, 22 tahun.
“Kalau dua kali bayaran dibuat setiap tahun maknanya lebih 40 kali dibayar secara direct. Cuma pada tahun 2000 barulah ia dibayar melalui Kementerian Kewangan,” ujarnya mengemukakan keterangan.
Dalam Belanjawan 2023 menurutnya, rata-rata melihat langkah pemberian petroleum secara terus kepada golongan sasar tanpa melalui kerajaan negeri menimbulkan persoalan dan sangkaan yang tidak baik.
“Adakah langkah ini bermaksud Kerajaan Madani atau Perpaduan, ingin mengulangi apa yang berlaku ketika Kerajaan Persekutuan di bawah BN (dahulu)? Pemberian wang ihsan tanpa melalui kerajaan negeri sangat bertentangan dengan konsep federalisme,” kesalahan.
Konsep itu tegas beliau sepatutnya diperkasakan pada era kerajaan pada hari ini sesuai dengan ‘Madani’ dan ‘Perpaduan’ yang diperkatakan selain pentingnya memperkasakan hubungan dua pihak.
Selain itu ujarnya, demi kebajikan dan pembangunan rakyat yang diketahui rata-rata di negeri tersebut adalah miskin dan perlu diberi keutamaan sebagaimana juga dalam senarai RMK-12. – HARAKAHDAILY 28/2/2023
Hasil petroleum mesti diberi melalui kerajaan negeri
Pemberian selain saluran itu bertentangan konsep federalisme
- Advertisement -