Erik Ten Hag: Ferguson baharu?

- Advertisement -

PADA hari Ahad lepas Manchester United mengakhiri kemarau selama 6 tahun apabila memenangi Piala Carabao atau Piala EFL dengan mengalahkan Newcastle United 2-0. Gol-gol dari Casemiro dan jaringan sendiri Sven Botman pada separuh masa pertama telah memberikan Pengurus Erik Ten Hag piala pertama sejak menyertai United pada bulan April tahun lepas. Kali terakhir United memenangi sebarang piala adalah pada tahun 2017 apabila mereka memenangi Europa League dan juga Piala Carabao.

Pada hari Khamis sebelum itu mengalahkan Newcastle, United telah mengalahkan Barcelona 2-1 di dalam perlawanan kedua pusingan play-off UEFA Europa League. Dengan kemenangan tersebut di Old Trafford itu, United telah menyingkirkan kelab La Liga itu dengan aggregate 4-3. Mereka telah seri 2-2 di Nou Camp pada perlawanan pertama. United sekarang akan bermain di pusingan 16 (Round of 16) dan akan menentang satu lagi kelab La Liga, Real Betis.

Kemenangan ke atas Barcelona kelihatan mustahil pada separuh masa pertama apabila kelab itu mendahului menerusi jaringan penalti oleh Robert Lewandowski. Tetapi United bangkit pada separuh masa kedua apabila Fred dan Antoni, dimasukkan. Kedua-dua pemain dari Brazil itu telah menjaringkan gol-gol yang membenamkan Barcelona. Keputusan tersebut merupakan satu keputusan yang tepat dan membuat dunia bangun mengambil perhatian terhadap Pengurus dari Belanda itu.

Sebelum kemenangan ke atas Barcelona di Manchester itu, United telah menewaskan Leicester 3-0 di tempat sendiri dan Leeds 2-0 di tempat lawan. Hari ini United berada di kedudukan nombor tiga di dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baki 14 perlawanan. Walaupun Arsenal berada 8 mata di hadapan dan mungkin payah bagi United untuk memintas mereka namun United kelihatan selesa untuk layak ke Liga Juara-juara UEFA (UEFA Champions League atau UCL) musim hadapan.

Untuk musim ini, United adalah satu-satunya kelab yang belum lagi tersingkir dari mana-mana pertandingan. Mereka telah memenangi Piala EFL. Mereka akan bermain di dalam pusingan 16 Europa League. Mereka akan bermain di dalam pusingan kelima Piala FA. Walaupun nampak mustahil, mereka masih boleh memenangi EPL jika pendahulu liga Arsenal dan kelab di tempat kedua, Manchester City, tiba-tiba kehilangan rentak.

Justeru tidak mustahil United memenangi 4 trofi musim ini. Setelah memenangi Piala EFL, Piala FA dan Europa League adalah di dalam kemampuan United. Transformasi ke atas United yang dilakukan oleh ten Hag dikagumi oleh media dan peminat. Ada yang menggelarkannya sebagai ‘Revolusi Ten Hag’. Tidak hairan ada yang sudah mula bermimpi kegemilangan pada era Pengurus legenda, Alex Ferguson, akan kembali semula. Malah tidak hairan juga ada yang melihat Ten Hag sebagai Ferguson baharu.

Tetapi apa yang telah Ten Hag lakukan? Terdapat banyak keputusan-keputusan yang dilakukan yang menunjukkan beliau sedang mengawal keadaan atau ‘in complete control’. Beliau tahu apa yang beliau mahu lakukan dan berani melakukannya. Menurut bekas pemain United dan pundit (Pengulas) Sky Sports UK, Gary Neville, Ten Hag yang bertanggungjawab di atas transformasi yang berlaku.

Roy Keane yang bermain untuk United dari 1993 hingga 2005 dan telah memenangi 17 trofi dengan mereka berpandangan Ten Hag amat bersesuaian (good fit) dengan United. Sudah tentu sebagai kelab besar yang memiliki sejarah yang gemilang bukan mudah untuk mendapatkan seorang Pengurus yang dapat menyesuaikan diri dengan kelab tersebut. Malah Oleg Gunnar Solskjaer yang disanjung peminat ketika bermain untuk United gagal sebagai Pengurus.

Ada yang berpandangan cara Ten Hag menguruskan Cristiano Ronaldo merupakan titik permulaan kepada transformasi yang berlaku di United. Kontrak Ronaldo telah ditamatkan pada bulan November apabila di dalam satu siri temuramah beliau telah memburukkan Ten Hag dan pemilik kelab. Penamatan kontrak Ronaldo adalah satu penegasan bahawa tidak ada pemain yang lebih besar dari kelab dan ini dapat menanam disiplin di kalangan pemain-pemain yang amat penting pada mana-mana pasukan. 

Sekiranya Ronaldo yang banyak berjasa kepada United terlepas tanpa hukuman, Ten Hag akan hilang kawalan ke atas pemain-pemain beliau dan susah untuk mengemudikan mereka menurut haluan beliau. Ada yang menyamakan penyingkiran Ronaldo sama seperti penyingkiran Jap Stam pada musim 2001/02 kerana bukunya ‘Head to Head’ telah membuat Pengurus ketika itu, Ferguson, merasa kurang senang.

Pemain-pemain baharu Casemiro daripada Real Madrid, Lisandro Martinez daripada Ajax dan Christian Eriksen bekas pemain Inter Milan, Tottenham dan Brentford turut penting di dalam transformasi United. Ten Hag juga telah berjaya meningkatkan meningkatkan prestasi pemain seperti Marcus Rashford yang pernah gagal menghadiri pertemuan pasukan kerana terlambat bangun tidur. Jika United berjaya memenangi beberapa lagi trofi, keyakinan pasukan ini sudah tentu akan meningkat. Ketika itu kemaraan United payah hendak dihalang. Satu berita buruk bagi saingan-saingan seperti Arsenal, Manchester City, Tottenham dan Liverpool.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
28 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 28/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -