KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, diarahkan menarik balik kenyataannya terhadap mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat putuskan sebagai sangkaan jahat.
Alice Lau Kiong mengarahkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu menarik balik semula kenyataannya yang mencetuskan kekecohan pada permulaan sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 di Dewan rakyat, hari ini.
“Yang Berhormat Kota Melaka, memandangkan Peraturan-Peraturan Mesyuarat 36(6), seseorang ahli tidak boleh memulakan sangkaan jahat ke atas ahli yang lain, jadi saya minta Yang Berhormat Kota Melaka tarik balik (kenyataan terhadap) Yang Berhormat Pagoh.
“Kota Melaka boleh sebut mana-mana pihak, tetapi jangan sebut YB (Yang Berhormat) Pagoh sahaja,” katanya.
Sebelum itu, Poay Tiong membangkitkan beberapa projek kontroversi seperti Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
Katanya, skandal demi skandal dibongkarkan dalam tempoh tiga bulan lalu sambil mendakwa projek bernilai berbilion ringgit diberikan kepada ahli keluarga.
Ini menyebabkan Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN), termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) bingkas bangun membantah kenyataan wakil rakyat DAP itu.
Ahli Parlimen PN menyatakan bahawa kenyataan itu seperti sudah menjatuhkan ‘kesalahan’ terhadap menantu Muhyiddin yang didakwa terbabit dengan projek NIIse.
Ini berikutan dakwaan itu sudah dijawab oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi PN pada 9 Februari lalu.

Presiden Bersatu menafikan sekeras-kerasnya beliau terbabit dalam pemberian kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.
Muhyiddin yang turut bangun menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah yang sengaja direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.
Poay Tiong ketika perbahasannya membangkitkan isu pendanaan politik dan rasuah yang disentuh oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu.
“Kita lihat dalam masa tiga bulan yang lepas, skandal demi skandal dibongkarkan, antaranya kita boleh lihat projek Jana Wibawa babit RM7 bilion, projek tebatan banjir RM7 bilion juga, Sistem Bersepadu Nasional melibatkan RM1 bilion. Semuanya kes telah dibongkarkan. Kita semua tahu ini adalah untuk tujuan politik,” katanya.
Ini menyebabkan Hamzah bangun mencelah dan menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka itu mengulangi semula kenyataannya di luar Dewan Rakyat supaya tindakan undang-undang dapat diambil.
Ahli Parlimen PN turut menggesa Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya mengarahkan Poay Tiong menarik semula kenyataannya, selain dihalau keluar dari Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pendang berkata: “Mengikut Peraturan 36(6) seseorang ahli (Dewan Rakyat) tidak dibenar mengeluarkan sangkaan jahat. Yang disebut (Poay Tiong) adalah Pagoh secara individu. Minta tarik balik atau minta maaf, kalau berani tuduh di luar, kita jumpa di mahkamah.” – HARAKAHDAILY 28/2/23
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!