KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) diharap dapat memberi tumpuan untuk menaik taraf kualiti jalan di sekitar kawasan Bachok, iaitu Kandis, Tangok, Pantai Irama dan Jelawat
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, laluan jalan yang sempit di kawasan berkenaan, tidak lagi dapat menampung kapasiti trafik pengguna tempatan di sekitar Pasar Jelawat dan Bandar Baru Jelawat.
Keadaan itu, katanya masih belum termasuk kapasiti trafik pengguna luar yang menggunakan laluan Bachok untuk ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu melalui Tok Bali.
“Dengan siapnya Hospital Daerah Bachok yang baharu di Jelawat, dijangka kesesakan lalu lintas akan bertambah rumit, dan mohon perhatian di pihak JKR bagi menjalankan kajian seterusnya menambah baik kualiti jalan raya di jajahan Bachok.
“Ini sama ada dengan membuat pelebaran jalan, jalan lencongan (bypass) atau pun jejambat (flyover) bagi menampung kapasiti trafik yang semakin tinggi tanpa mengira waktu puncak,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Syahir turut mencadangkan agar perlu suatu pelan induk pembangunan pelancongan pesisir pantai di kawasan luar bandar yang berpotensi seperti di Bachok, khususnya Pantai Senok, Pantai Irama, Pantai Tapang dan Pantai Melawi.
Katanya, pelan berkenaan turut melibatkan penyediaan infrastruktur, jalan, landskap dan kemudahan rekreasi di samping keperluan perhatian kementerian untuk membangunkan bakat muda untuk mewarisi seni budaya, warisan dan kraftangan supaya kekal terpelihara.
“Tuan Yang Di-Pertua, pagi tadi kami Ahli-Ahli Parlimen PN dalam portfolio Pelancongan, diketuai YB Langkawi telah mengadakan pertemuan dengan YB Menteri bersama YB Timbalan Menteri dan pegawai kanan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mendengar cadangan dan pandangan kami. Suatu usaha yang amat baik,” katanya. HARAKAHDAILY 27/2/2023