KUALA LUMPUR: Agenda menambah baik pelaksanaan TVET di Malaysia akan berpaksikan kepada tiga teras strategi yang digariskan oleh Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) iaitu melalui tadbir urus bersepadu dan terselaras, TVET dipacu industri dan TVET mencorak masa hadapan.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) tiga teras strategi tui akan dijadikan rujukan utama dalam merangka agenda memperkasa pelaksanaan TVET meliputi aspek tadbir urus, kualiti, industri, pembiayaan dan penjenamaan.
Katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Disember 2022 telah membuat keputusan agar Kementerian Sumber Manusia menggalas tugas sebagai memindahkan fungsi MTVET yang baharu.
Selaras dengan itu, KSM bersedia menggalas peranan tersebut melalui gerak kerja komprehensif dengan sokongan dan kerjasama kukuh semua pemegang taruh TVET di pihak kerajaan dan juga swasta secara berterusan.
KSM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Awang Hashim [PN-Pendang] di Dewan Rakyat, hari ini.
Awang dalam soalannya meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah langkah diambil pihak kementerian bagi mengurangkan karenah birokrasi di peringkat kerajaan dalam aspek pelaksanaan pendidikan TVET serta apakah pelan tindakan kementerian bagi merancakkan penglibatan dalam bidang TVET.
Tambahnya, kementerian bersama semua pemegang taruh TVET akan memanfaatkan pelbagai hasil kajian terdahulu yang telah mengenal pasti isu dan cadangan-cadangan penambahbaikan berkaitan TVET sebelum ini.
“Setiap hasil dapatan kajian ini akan dinilai dan inisiatif yang dicadang akan diteliti secara terperinci bagi memastikan kebolehlaksanaan dan impaknya terhadap TVET negara secara menyeluruh,” ujarnya.
Katanya, usaha mempromosi TVET di seluruh negara termasuk di Sabah dilakukan secara berterusan oleh semua kementerian dan agensi berkaitan TVET dalam usaha menarik minta segenap lapisan masyarakat meliputi komuniti dalam bandar dan luar bandar bagi menyertainya.
“Pelbagai pendekatan promosi dilakukan seperti program outreach, karnival, dan hebahan-hebahan di media elektronik atau platform media sosial bagi meluaskan cakupan penyampaian maklumat berkaitan TVET ini,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 27/2/2023