Periksa kesihatan tahanan sebelum masuk lokap

Zahari Kechik
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Inisiatif pelantikan pengamal perubatan swasta bagi pemeriksaan kesihatan tahanan sebelum dimasukkan ke lokap antara langkah membendung kematian dalam tahanan.

- Advertisement -

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan perkara itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Zahari Kechik [PN-Jeli] di Dewan Rakyat, hari ini.

Zahari dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik kematian dalam tahanan bagi tahun 2021 dan 2022 dan saha kerajaan untuk membendung insiden kematian dalam tahanan yang berlaku.

Menurut KDN, dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021, jumlah kematian tahanan dalam jagaan polis adalah sebanyak 46 kes.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sejumlah 14 kes adalah kematian yang berlaku di dalam lokap polis manakala 32 kes kematian berlaku semasa tahanan dalam perjalanan ke hospital/klinik atau semasa menerima rawatan di hospital/klinik.

Bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022 pula, jumlah kematian tahanan semasa di bawah jagaan polis yang direkodkan adalah 24 kes.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, 11 kematian tahanan berlaku di lokap polis manakala 13 kes kematian berlaku semasa tahanan menerima rawatan di hospital/klinik atau dalam perjalanan ke hospital/klinik.

Katanya, antara langkah yang telah dan sedang dilaksanakan dalam membendung kematian dalam tahanan oleh PDRM adalah menyediakan Garis Panduan Standard (SOP) pengurusan tahanan di lokap dan mewujudkan Custodial Health Unit (CHU) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lima Lokap Berpusat bagi pemeriksaan kesihatan tahanan iaitu di Shah Alam, Jinjang, Indera Mahkota, Bayan Baru dan Kota Kinabalu;

Di samping, ujarnya pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 684 lokap balai polis/IPD/IPK PDRM sedang dilaksanakan mengikut lima zon (Utara, Selatan, Timur, Sabah, Sarawak) sebagai penambahbaikan bagi mengawasi dan memantau OKT.

Katanya, PDRM sedang mengkaji cadangan melekatkan notis peringatan “Hospital or Custody” di setiap kereta polis sebagai peringatan untuk menghantar tahanan yang sakit/cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, jelasnya pemeriksaan berkala oleh pihak berwajib untuk memastikan pematuhan kepada arahan/SOP pengurusan lokap dan tahanan diikuti.

Katanya, kementerian sedang menyediakan pindaan menyeluruh terhadap Kaedah-Kaedah Lokap 1953 bagi memastikan pengurusan lokap, pengurusan tahanan dan hak asasi tahanan ditambah baik baik selari dengan keperluan dan kehendak semasa;

Tambahnya, Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dijalankan secara berkala kepada penjaga lokap yang bertugas dari segi kawalan keselamatan serta pematuhan; dan inisiatif pelantikan pengamal perubatan swasta bagi pemeriksaan kesihatan tahanan sebelum dimasukkan ke lokap. – HARAKAHDAILY 27/2/2023

- Advertisement -