Peneroka Israel bakar rumah, kereta penduduk Palestin

Visual api yang marak kelihatan ketika beratus-ratus peneroka haram Israel mengamuk dengan membakar rumah dan kereta penduduk Palestin di bandar Huwara, di Tebing Barat pada 26 Feb 2023. (FOTO: YNetNews)
- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Beratus-ratus peneroka haram Israel mengamuk dengan ganas di utara Tebing Barat dengan membakar berpuluh-puluh kereta dan kediaman penduduk Palestin, selepas dua peneroka Yahudi di penempatan berhampiran maut didakwa ditembak seorang lelaki bersenjata Palestin.

- Advertisement -

Kira-kira 400 peneroka haram Israel itu merusuh dan bertempur dengan penduduk Palestin di bandar Hawara, Tebing Barat pada lewat Ahad (26 Feb), waktu tempatan, lapor YNetNews.

Sementara menurut laporan Al Jazeera, pakar perubatan Palestin berkata seorang lelaki terbunuh dan empat lagi cedera parah dalam apa yang kelihatan sebagai ledakan paling teruk keganasan peneroka haram Israel di Tebing Barat dalam beberapa dekad.

Dalam kejadian itu, rakyat Israel dari penempatan Har Bracha mengamuk selepas seorang lelaki bersenjata Palestin dilaporkan membunuh dua beradik Israel ketika mereka memandu di Tebing Barat yang diduduki pada Ahad.

Tentera Israel berkata lelaki bersenjata itu datang ke satu simpang dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan dua warga  Israel itu – salah seorang mangsa yang terbunuh adalah seorang askar dalam program untuk pelajar Yahudi.

Sementara, laporan The Jerusalem Post berkata, dua wartawan Israel, Shahar Glick dan Josh Breiner melaporkan bahawa seorang lelaki bersenjata Yahudi berpakaian hitam dan jaket tentera dan topi keledar telah melepaskan tembakan dan melemparkan bom tangan ke arah mereka ketika kedua-duanya sedang membuat liputan mengenai keganasan di Huwara

Tiada tuntutan bertanggungjawab segera bagi serangan itu, ketika pihak berkuasa Israel dan Palestin bertemu di Jordan untuk membincangkan cara meredakan ketegangan.

Selepas kejadian tembakan itu, rakyat Palestin melaporkan bahawa penduduk Israel dari penempatan Har Bracha menyerang kediaman penduduk Palestin di kampung Burin berdekatan.

Keganasan yang dilakukan peneroka haram Israel di Huwara, Tebing Barat pada 26 Feb 2023. (FOTO: Shlomi Heller/Walla/The Jerusalem Post)

Ghassan Daghlas, seorang pegawai yang bertanggungjawab dalam aktiviti anti-penempatan, berkata beberapa rumah penduduk Palestin dan 15 kereta telah dibakar, manakala media Palestin berkata kira-kira 30 rumah dan kereta dibakar.

Foto dan video di media sosial menunjukkan kebakaran besar membara di seluruh bandar Hawara – tempat kejadian tembakan maut pada awal hari – dan menerangi langit di lokasi kejadian.

Dalam satu video, orang ramai dalam kalangan peneroka haram Israel  kedengaran membaca doa Yahudi untuk orang mati ketika mereka merenung bangunan yang terbakar. Sebelum ini, seorang menteri Kabinet dan pemimpin peneroka  haran Israel yang terkenal telah menyeru agar Israel menyerang ‘tanpa belas kasihan’.

Lewat Ahad, Kementerian Kesihatan Palestin berkata seorang lelaki berusia 37 tahun ditembak dan dibunuh oleh seorang peneroka Israel. 

Sementara The Times of Israel melaporkan bahawa Perkhidmatan Perubatan Bulan Sabit Merah Palestin sebagai berkata bahawa di bandar Za’tara, selatan Huwara, dua orang lagi ditembak dan cedera, orang ketiga ditikam dan yang keempat dipukul dengan palang besi; sementara kira-kira 95 yang lain dirawat kerana terhidu gas pemedih mata.

Tentera Israel, yang beroperasi di kawasan itu, tidak mempunyai segera mengeluarkan sebarang ulasan mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, Presiden Palesti, Mahmoud Abbas mengecam apa yang disebutnya sebagai ‘tindakan pengganas yang dilakukan oleh peneroka di bawah perlindungan pasukan pendudukan (haram Israel) malam (Ahad) ini’.

“Kami menuntut kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya,” tegas beliau.

Peneroka haram Israel mengadakan bantahan dan mengamuk dengan membakar kediaman dan kereta penduduk Palestin di bandar Huwara pada 26 Feb 2023. (FOTO: THE JERUSALEM POST)

Ketika video keganasan muncul dalam laporan berita malam Ahad, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu merayu agar semua pihak bertenang dan menggesa menentang keganasan. 

“Saya meminta apabila darah mendidih dan semangat panas, jangan ambi undang-undang sendiri di tangan anda,’ kata Netanyahu dalam satu kenyataan video.

Tentera Israel berkata ketua kakitangannya, Lt. Jeneral Herzl Halevi, bergegas ke tempat kejadian dan pasukan itu cuba memulihkan keadaan.

Amukan itu berlaku sejurus selepas kerajaan Jordan, yang menganjurkan rundingan pada Ahad di pusat peranginan Laut Merah Aqaba, berkata kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengambil langkah untuk meredakan ketegangan dan akan bertemu semula bulan depan menjelang bulan suci Ramadan.

“Mereka menegaskan semula keperluan untuk melakukan de-eskalasi di lapangan dan untuk mencegah keganasan selanjutnya,” ujar kenyataan daripada Kementerian Luar Jordan.

Selepas hampir setahun pertempuran yang telah mengorbankan lebih 200 rakyat Palestin dan lebih 40 warga Israel di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis, pengumuman Jordan itu menandakan sedikit kemajuan; namun situasi terbaharu ini segera kembali meragukan komitmen tersebut.

Palestin menuntut Tebing Barat, timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza – kawasan yang ditawan oleh Israel dalam perang Timur Tengah 1967 – untuk negara masa depannya. 

Kira-kira 700,000 peneroka Israel tinggal di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis ketika Masyarakat antarabangsa menganggap penempatan itu sebagai haram dan penghalang kepada keamanan. – HARAKAHDAILY 27/2/2023

- Advertisement -