Kepala model Hong Kong ditemui dalam periuk sup

Mangsa pembunuhan kejam di Hong Kong, Abby Choi.
- Advertisement -

HONG KONG: Pasukan forensik polis Hong Kong telah menemui apa yang mereka percaya sebagai kepala model dan sosialit media sosial, Abby Choi dalam sebuah periuk berisi sup.

- Advertisement -

Menurut kenyataan yang dikeluarkan polis Hong Kong pada Ahad 26 Feb, unit forensiknya mengesahkan perkara itu, dua hari selepas mereka menemui sebahagian daripada anggota mayat mangsa di sebuah rumah di Kampung Lung Mei, yang terletak di Daerah Tai Po, lapor HK1.

Selain bahagian kepala, tambah laporan itu,  forensik juga turut menemui beberapa tulang rusuk dalam periuk tersebut.

Menurut laporan itu juga, tengkorak itu masih agak utuh, namun dipercayai bahawa terdapat sekurang-kurangnya satu percubaan untuk menghancurkannya; dan rambutnya tidak lagi melekat pada tengkorak selepas memasaknya.

Forensik juga menemui sejumlah kecil daging cincang, bersama dengan lobak merah dan lobak hijau dalam periuk berkenaan.

Sehubungan itu, bekas suami mangsa, bersama abang dan ibu bapa lelaki itu telah ditangkap berkaitan dengan pembunuhan itu.

Terdahulu, di lokasi tersebut, polis telah menemui periuk sup berkenaan pada Jumaat (24 Feb), yang dilaporkan hampir penuh, dan dikesan  terdapat daging cincang di dalamnya.

Pada ketika itu, pihak berkuasa hanya boleh mengesahkan bahawa terdapat tisu manusia di dalam periuk tersebut, yang kemudian  telah dihantar untuk ujian pengesahan.

Bekas suami mangsa, Alex Kwong, 28, ditahan polis awal petang Sabtu (25 Feb) di terminal feri di pantai barat laut Pulau Lantau, Hong Kong.

Dia membawa wang tunai 500,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM283,813) dan beberapa jam tangan mewah bernilai kira-kira HK$4 juta (RM2.27 juta), menurut The South China Morning Post, yang mana penyiasat percaya dia cuba melarikan diri dari Hong Kong ketika ditahan.

Ibu bapa Kwong dan abang lelaki berusia 31 tahun telah pun didakwa sebelum ini atas dakwaan membunuh model dan sosialit berusia 28 tahun itu, yang dilaporkan hilang pada Selasa (21 Feb).

Bekas bapa mertua Choi dipercayai menjadi dalang perancangan membunuh mangsa bermotifkan perebutan harta bernilai jutaan dolar, yang mana lelaki berusia 65 tahun itu merupakan bekas sarjan polis telah meninggalkan perkhidmatannya pada 2005, lapor akhbar China itu lagi, memetik sumber yang tidak dinamakan.

Choi yang dilahirkan pada 11 Julai 1994, di Hong Kong dilaporkan mempunyai nilai bersih kekayaan mencecah HK$100 juta (RM56 juta) dan berasal dari keluarga kaya dalam perniagaan di China, yang mana dia turut membiayai kedua-dua bekas mertua dan dua anaknya bersama bekas suaminya untuk tinggal di sebuah apartmen mewah, selain membantu bekas abang ipar membeli rumah. – HARAKAHDAILY 27/2/2023

- Advertisement -