Tumpukan usaha atasi tekanan hidup rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sewajarnya memfokuskan Belanjawan 2023 terhadap usaha menyelesaikan masalah rakyat yang berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor, berkata kerajaan perlu membela rakyat, terutama di luar bandar yang sangat terkesan dengan situasi ekonomi kini.

“Penoreh getah bukan sahaja menghadapi masalah harga getah yang tidak stabil, malah diuji dengan cuaca yang tidak menentu sehingga hasil pengeluaran juga sangat rendah.

“Harga getah hanya meningkat 20 sen, daripada RM2.50 kepada RM2.70. Ini pastinya mengecewakan golongan penoreh getah, terutama yang dikategorikan dalam golongan B40,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ustazah Salamiah yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia turut mempersoalkan apakah yang dimaksudkan dengan slogan ‘menoktahkan kemiskinan’ dalam Belanjawan 2023.

“Saya sendiri berasa sangat kecewa kerana pengeluar (penoreh getah) bersusah-payah dengan situasi yang berlaku sedangkan kerajaan menguar-uarkan membela kehidupan mereka dengan menoktahkan kemiskinan.

“Kita faham bahawa menoktahkan kemiskinan ini tidak akan wujud kerana dalam Islam, kemiskinan itu tetap wujud cuma dapat dikurangkan.

“Oleh itu, sewajarnya kita dapat menaikkan sebenarnya taraf hidup mereka ini dengan mengusulkan, ‘apakah kita lihat, apa yang mereka hendak ini’, supaya kerajaan memberikan jaminan harga getah yang lebih stabil,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu fokus untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Malah, katanya penjawat awam juga kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2023.

“Kalau mereka (penjawat awam) sendiri pun menanggung beban kos sara hidup, apatah lagi rakyat yang berada di bawah. Saya berharap dalam pelaksanaan Belanjawan 2023, tiada rakyat yang tercicir untuk menikmati manfaat,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/2/23

- Advertisement -