Kenapa DAP begitu memusuhi Penjawat Awam?

- Advertisement -

PENJAWAT Awam terus menjadi mangsa sasaran politikus bebal yang mempertikaikan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat negara ini. Khususnya daripada DAP sejak pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14 dahulu.

Serangan kepada para penjawat awam ini bahkan diheret kasar hingga memercikkan api kebencian perkauman. Kerana ketika itu DAP merasa cukup berkuasa, sedang penjawat awam dilihat sebagai kekuatan Melayu-Islam yang mesti dilemahkan.

Maka, penjawat awam dimusuhi oleh DAP dengan memberi tekanan kepada ‘tulang belakang’ kerajaan dan ‘urat saraf’ rakyat itu. Berikut antara muslihat berbangkit sebagai usaha mereka untuk menggoncang kekuatan perkhidmatan awam:

1. Menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan dan menyebabkan pembaziran kerajaan;

2. Mendesak kerajaan supaya mengurangkan bilangan penjawat awam;

3. Mencadangkan di Dewan Rakyat supaya dilakukan pembaharuan dasar berkenaan pemberian pencen;

4. Menegaskan mengenai betapa kerajaan tidak perlu takut untuk memecat dan keperluan melakukan proses pembersihan ke atas penjawat awam;

5. Menuduh penjawat awam mensabotaj kerajaan;

6. Memindah dan menyejukbekukan penjawat-penjawat awam utama kerajaan;

7. Memendekkan kenaikan pangkat dan penambahan gred serta kenaikan gaji.

Hakikat Perkhidmatan Awam

Penjawat awam dimiliki negara ini tidakpun sampai 5 peratus iaitu 1.63 juta daripada keseluruhan 33 juta rakyat Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 1.2 juta penjawat awam berada dalam sektor pendidikan, keselamatan dan kesihatan. 

Namun, nisbah jumlah itu berbanding tuntutan atau keperluan perkhidmatan di sektor-sektor sangatlah berjurang besar. Ini berikutan pertambahan penduduk yang semakin ramai dan luasnya kawasan tugas termasuk baharu dibuka.

Manakala baki penjawat awam sekitar 400,000 lagi berada dalam semua sektor lain yang melibatkan tadbir urus rasmi, perkhidmatan kaunter, bantuan lokasi, pembangunan dan penyelenggaraan setempat, penguatkuasaan, kepakaran profesional dan banyak lagi.

Hakikatnya, jumlah tersebut bukan sahaja kecil dan tidak mencukupi, bahkan banyak peranan yang dibebankan kepada mereka, terkadang melebihi skop tugas. Cabaran para penjawat awam telah menjadi rahsia terbuka antaranya ringkas mengikut sektor berikut:

▪Pendidikan

Para guru di sekolah bukan sahaja masih berdepan masalah atau isu sepertimana pasca-Merdeka, bahkan banyak cabaran kontemporari. Anak murid atau pelajar yang terlalu ramai dengan segala kerencaman perangai hinggalah infrastruktur masih seperti ‘zaman Jepun’.

Kekurangan guru mengikut subjek masih berlaku hinggakan seseorang cikgu terpaksa mengajar mata pelajaran yang bukan bidang khususnya. Malah di sekolah, guru juga sebenarnya terpaksa menjadi kerani hinggalah jurutera; menyelia data dan pembinaan kecil.

Belum lagi cerita menjadi ‘driver ambulans’, polis pelerai rusuhan, penyiasat sabotaj hinggalah kaunselor atau hakim pendamai keluarga bermasalah. Mudah kata pada era ini, jika tiada ‘multi-tasking skill’ memang akan susah untuk bergelar sebagai seorang guru.

Guru yang berpencen, sukar berganti baru, tetapi jumlah murid atau pelajar semakin masa kian bertambah. Popular hingga menjadi perbahasan di Parlimen adalah isu ‘guru duka lara’ yang sebenarnya merupakan kisah perjuangan dan pengorbanan golongan pendidik.

Keselamatan

Penjawat awam sektor ini pernah ditohmah ‘makan dan tidur sahaja’ hingga disamatarafkan dengan pekerja asing dan boleh dikerah bekerja di ladang. Sedangkan merekalah paling susah bercuti biar sebarang perayaan sedang diraikan.

Terlalu banyak kursus, latihan, operasi dan misi yang bukan sahaja sentiasa berjauhan dan berpisah lama dengan keluarga, bahkan sangat berisiko. Meletihkan apabila keperluan mereka tidak dipenuhi sebaiknya dengan perkembangan zaman.

Namun, kesanggupan dan kesiapsiagaan serta taat setia mereka sentiasa tinggi untuk menjamin keselamatan, keamanan, ketenteraman dan kedaulatan tanah air ini. Kehidupan yang rakyat Malaysia kecapi hari ini antaranya hasil darah dan peluh mereka.

Paling isu kepada sektor ini adalah aset yang usang dan tidak dipenuhi mencukupi keperluan dan selaras cabaran semasa. Semuanya angkara pengkhianatan kuasa politik yang bersikap enteng, kedekut dan tidak serius serta berfikiran luas.

Kesihatan

Bukan sahaja infrastruktur hospital dan klinik yang masih jauh mencukupi berbanding ramainya pesakit dan penyakit hari ini, bahkan juga kepakaran tidak diperjawatankan. Hakikatnya, premis kesihatan kita masih kekurangan doktor kerana jawatan terhad.

Akibatnya, rakyat juga menjadi mangsa apabila terpaksa menunggu tempoh lama bagi penggiliran mendapatkan rawatan perubatan. Terkadang penantian dan kesabaran ini berakhir dengan kematian, sedangkan ia bukan kerana tiada kemudahan dan kepakaran.

Negara melahirkan ramai graduan perubatan, tetapi khidmat tidak dijamin yang mana ramai bertugas secara kontrak hingga pernah berlaku hartal oleh mereka. Akhirnya, kesihatan bertukar menjadi sebahagian perniagaan di negara ini bahkan seluruh dunia.

Hospital dan klinik kesihatan di negara ini tumbuh subur bagaikan cendawan selepas hujan. Semua keadaan ini terbentuk kerana sikap kerajaan masa lalu yang ia mesti segera dibaiki oleh pemerintah akan-akan datang selepas ini.

Penguatkuasaan

Ancaman yang wujud ke atas negara untuk ditangani penguat kuasa, sebenarnya turut meliputi terhadap batang tubuh mereka. Ia cabaran kritikal kerana jumlah mereka yang sedikit berbanding banyak, besar dan luas serta rencamnya aspek perlu dihadapi.

Tanpa tenaga penguat kuasa bersama aset atau teknologi terkini, perkhidmatan efisien sukar diberikan, bahkan menimbulkan pula pelbagai masalah lain. Seperti ketirisan, kekurangan hasil, serta pesatnya kelahiran sindiket, kartel, jerung dan seumpamanya.

Lain-lain

Hampir semua sektor lain juga kekurangan kakitangan yang sebahagian beban mungkin ditampung oleh pendigitalan atau teknologi. Namun, negara juga ‘hilang’ khidmat mereka terutama sektor yang memerlukan kepakaran profesional.

Kerana tanpa perjawatan tetap yang terjamin, mereka terpaksa berhijrah atau bertugas di negara lain atau bersama pihak bukan kerajaan. Akhirnya, perkhidmatan awam terus berkemelut dan berpolitik dengan pelbagai isu berulang atau tidak berkesudahan.

Perlu pemerkasaan

Oleh itu, perkhidmatan awam memerlukan pembesaran saiz dengan membuka perjawatan yang selaras dengan keperluan semasa rakyat. Suara-suara yang memperkenalkan, memperlekeh atau meremehkan mesti melihat isu atau masalah secara holistik.

Namun, dalam kes kritikan DAP, ia ternyata bermotif politik dan berbaur kebencian perkauman. Ini mesti ditangani kerana kedudukan Melayu-Bumiputera dalam perkhidmatan awam bukanlah rasis atau mendiskriminasi kaum lain di negara ini.

Tetapi ianya adalah peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapapun. Maka, menunjukkan sikap tidak senang atau memusuhi penjawat awam sebenarnya satu perbuatan melemahkan kerajaan dan memecahbelahkan rakyat.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 24/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -