Dr Aliakbar bawa politik masa depan Sabah

Dr. Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

DR. ALIAKBAR Gulasan, ADUN Dilantik Sabah yakin dalam konteks melahirkan generasi yang berilmu ia tidak akan pergi kepada parti-parti politik yang sudah diwarnai dengan rasuah dan salah laku kuasa. Beliau mengira masa depan PAS dalam konteks politik, pilihan raya, dakwah, kebajikan di Sabah; PAS sebenarnya sudah mendahului jauh berbanding dengan parti-parti yang lain. Pengarang Harakah SAIDAH HAIRAN sempat mewawancara beliau yang Setiausaha PAS Negeri Sabah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, baru-baru ini.

- Advertisement -

HARAKAH: YB, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 berlaku gelombang kebangkitan anak-anak muda di Semanjung sehingga memberi kesan yang sangat positif kepada Perikatan Nasional (PN). Apakah kebangkitan kesedaran anak-anak muda ini juga berlaku di Sabah?

DR. ALIAKBAR: Pertama sebagaimana yang kita maklum semenjak tahun 2020, kita telah menyokong Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah. PAS tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2020 dan termasuk Pilihan Raya Umum tahun 2022. PAS Negeri Sabah dengan restu daripada pimpinan PAS Pusat terus membantu kerajaan yang sedia ada yang telah kita dukungi daripada tahun 2020. Sebab itu saya melihat dalam konteks politik Sabah ada sedikit perbezaan.

Dalam kebangkitan rakyat, kita melihat Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri yang mungkin telah mendapat sokongan rakyat.  Kita melihat dalam konteks negeri Sabah ini, kepelbagaian yang agak lebih rencam dan ini menyebabkan senario dan landasan politiknya sedikit berbeza.

Apabila berlaku kekalutan politik dalam tempoh sebulan lalu, Kerajaan Negeri yang didukungi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN) turut mendapat sokongan daripada Pakatan Harapan. Maknanya, percubaan untuk menumbangkan Datuk Seri Hajiji daripada pihak Warisan dan sebahagian Barisan Nasional (BN) gagal. Mungkin ini tidak berlaku di Semanjung, sebab itu dalam konteks menilai politik Sabah mungkin harus dilihat daripada pandang sisi yang sedikit berbeza. Dalam konteks Perikatan Nasional setakat ini mungkin angin pada ketika ini tidak dapat melepasi Laut Cina Selatan. Bukan sebab tidak kuat tetapi senario dan juga budaya dan pemikiran politik yang sedikit berbeza.

YB dalam menjalankan tugas Adun di Sabah adakah mendapat kemudahan dan kerjasama daripada pihak kerajaan?

Pertama saya menjalankan tugas sebagai Adun yang dilantik yang dicadangkan oleh pimpinan PAS dan dipersetujui oleh Datuk Seri Panglima Hajiji yang kita dukungi bersama. Setakat hari ini saya cukup berasa senang bersama dengan kepimpinan yang ada dalam Sabah ini. Kita mendapat kemudahan-kemudahan sebagaimana sebagai seorang Adun yang dilantik. Misalnya, peruntukan-peruntukan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan juga kemudahan-kemudahan sebagai seorang Ahli Dewan Negeri yang sama sepertimana Adun-Adun yang menang dalam pilihan raya. Cuma dari segi jumlah peruntukan itu berbeza. – HARAKAHDAILY 24/2/2023

IKUTI WAWANCARA PENUH DALAM AKHBAR HARAKAH EDISI 2829.

- Advertisement -