Türkiye kutuk serangan Israel di Tebing Barat

Penduduk Palestin menyelamatkan seorang lelaki yang cedera semasa serbuan Israel di bandar Nablus Tebing Barat pada 22 Feb 2023. (FOTO: Zain Jaafar / AFP)
- Advertisement -

ANKARA: Türkiye mengutuk sekeras-kerasnya serangan jahat tentera ke atas bandar Nablus di Tebing Barat yang menyebabkan sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terkorban dan lebih 100 cedera.

- Advertisement -

Kementerian Luar Türkiye dalam kenyataannya pada Rabu, waktu tempatan, berkata, pihak berkuasa Israel perlu segera menghentikan serangan dan provokasi sedemikian untuk mengelakkan lingkaran keganasan di rantau itu.

Walaupun Türkiye ini masih bergelut dengan kesan gempa bumi berturut-turut yang melanda negara itu sejak 6 Feb lalu dan telah mengorbankan 43,556 rakyatnya, namun itu tidak menghalang ia daripada menunjukkan soladiriti terhadap penduduk Palestin yang sekian lama ditindas Israel.

Kementerian tersebut sehubungan itu, mendoakan rahmat Allah buat rakyat Palestin yang kehilangan nyawa dalam serbuan itu, dan menyampaikan ucapan takziah kepada negara dan rakyat Palestin.

Terdahulu, sekurang-kurangnya sepuluh rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tembakan Israel lahanat semasa serbuan tentera di bandar Nablus Tebing Barat.

Kenyataan Kementerian Kesihatan berkata 102 yang lain turut cedera, termasuk enam dalam keadaan kritikal.

Menurut saksi, tentera Israel menyerbu Nablus dan mengepung sebuah rumah di Kota Lama, mencetuskan tembak–menembak dengan lelaki bersenjata, selain letupan juga kedengaran di bandar itu.

Tentera Israel berulang kali melakukan serbuan di Nablus untuk mencari anggota kumpulan Lions’ Den, yang muncul di Tebing Barat yang diduduki tahun lalu.

Tel Aviv menuduh kumpulan itu melakukan serangan maut ke atas sasaran Israel. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!