Tuan Ibrahim prihatin isu bekalan air Langkawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, membangkitkan isu kebocoran paip bekalan air dasar laut di Langkawi yang telah lama berlaku dan memerlukan tindakan segera kerajaan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Presiden PAS ingin mengetahui tindakan penyelesaian secara menyeluruh yang dapat kerajaan lakukan.

“Loji memproses air perlu dibina di pulau itu supaya kalau berlaku kebocoran, kesan kerugian tidak menjadi sangat besar. Jadi, mohon penjelasan,” katanya ketika mencelah penggulungan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan ini, Nik Nazmi berkata, beliau telah mengadakan perbincangan isu ini secara mendalam dengan kerajaan Kedah, termasuk dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) minggu lepas.

“Pertama betul, soal paip yang bocor tersebut, tapi kedua ialah membangunkan loji air, memproses air di pulau itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan rancangan pembinaan empangan bawah tanah yang telah dicadangkan dan beberapa projek lain untuk meningkatkan bekalan air di Langkawi.

Sementara itu Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, ingin tahu status projek Jeniang Transfer di daerah Sik.

“Berkaitan dengan sumber air yang hendak diproses untuk domestik dan juga pertanian. Projek Jeniang Transfer di daerah saya, nampaknya tertangguh sekian lama.

“Apa status sebenarnya projek ini dan jika tidak dapat disiapkan untuk fasa dua dan fasa tiga, nampaknya akan menjadi projek terbengkalai dan menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan sendiri,” katanya.

Nik Nazmi berkata, beliau akan memberikan jawapan bertulis berkenaan isu yang Ahmad Tarmizi bangkitkan. – HARAKAHDAILY 23/2/23