KUALA LUMPUR: Negeri Pantai Timur (Kelantan, Pahang dan Terengganu) menerima peruntukan pembangunan asas sebanyak RM5.89 bilion melalui Rolling Plan 2 Tahun 2022 .
Sebanyak 1,068 projek pembangunan di bawah pelbagai kementerian diluluskan dengan peruntukan pembangunan yang diluluskan di Terengganu sebanyak RM1.37 bilion melibatkan pelaksanaan sebanyak 327 projek di bawah pelbagai kementerian.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata antara projek utama yang sedang dilaksanakan di negeri Pantai Timur ialah menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang di laluan Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, Marang, Terengganu (kos projek RM398 juta).
Menurutnya, projek lain ialah pembinaan bangunan baharu Pusat Pakar Pergigian Terengganu (RM34.2 juta), pembinaan Stadium Bukit Merbau, Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh, Kelantan (RM180 juta), pembangunan Pihak Berkuasa Tempatan Kelantan (RM150 juta).
Katanya, dua lagi projek ialah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera, Pahang, (RM234 juta) dan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Lembing, Pahang (RM 6 juta).
“Kerajaan komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) melalui pembangunan inklusif dan mampan.
“Justeru kerajaan memperuntukkan RM162.8 juta perbelanjaan pembangunan pada tahun 2022 bagi ECER,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) dan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, hari ini.
Hanifah Hajar berkata, peruntukan itu bagi membiayai program dan projek pembinaan infrastruktur melibatkan negeri di wilayah ECER dan daerah Mersing, Johor.
Katanya, beberapa projek yang dibangunkan di wilayah ECER dalam tempoh RMK-12 ialah pembangunan Jambatan Palekbang-Kota Bharu Kelantan; Taman Biopolimer Kertih, Terengganu; Projek Eko-pelancongan di Endau-Rompin, Pahang; dan projek Lembah Tenusu Jemaluang, Mersing. – HARAKAHDAILY 23/2/23
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!