Presiden PAS rakam takziah pemergian Dr Mohd Kamal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Professor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan atas pemergian beliau kembali ke rahmatullah.

- Advertisement -

Katanya, Almarhum merupakan tokoh yang sangat berjasa dalam pembangunan pendidikan di Malaysia sebagai pelopor kepada penggabungan sistem pengajian Islam dan ilmu duniawi di UIAM.

“Alhamdulillah, hari ini kita dapat lihat banyak institusi pengajian yang menggabungkan kedua-dua ilmu ini yang terpisah suatu ketika dahulu, berkat perjuangan beliau,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Menruutnya, Almarhum dilantik menjadi rektor ketiga UIAM pada tahun 1998 sebelum dilepaskan jawatan rektor tersebut pada tahun 2006 kepada Prof Dato’ Sri Dr. Syed Arabi bin Syed Abdullah Idid.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat kepada Almarhum, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Dr Mohd Kamal, 80, dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.27 pagi tadi, akibat komplikasi berkaitan prosedur pembedahan, baru-baru ini.

Almarhum yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada 1965 sebelum menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -