Pemergian ke rahmatullah Prof Kamal Hassan

- Advertisement -

HARI ini saya sangat sedih apabila menerima perkhabaran Prof Kamal Hassan kembali ke pangkuan Penciptanya.

Banyak sekali kenangan saya bersamanya, semuanya kenangan manis yang banyak mempengaruhi diri saya kini. Alhamdulillah.

Saya tidak pernah belajar di dalam kelasnya secara formal. Mungkin kerana saya berada dalam kuliah Undang-undang. Tetapi saya banyak mendapat sentuhannya melalui pengisian program Taaruf Week (Minggu Orientasi) dan Ibadah Camp yang diadakan setiap semester/ tahun. Ini di antara kelebihan produk UIAM.

Apabila dia mula bercakap dalam ceramah atau program saya boleh merasai bagaimana semua pelajar diam dan memberi tumpuan kepada ucapannya. Auranya sangat hebat. Masya Allah. Dia tidak berpidato berapi sebaliknya teratur dan lembut. Mempengaruhi jiwa. Dia bertutur menggunakan American English yang sangat fasih. Benar-benar menjiwai dan datang dari hatinya. Apabila mendengar ucapan dan nasihatnya, saya tidak berasa berada di Malaysia. Saya rasa seolah-olah berada di bumi Amerika dikelilingi oleh saudara seagama. Begitulah pengaruh kuat aura Almarhum Prof Kamal.

Ada juga kenangan lucu berkenaan Almarhum. Sewaktu saya menjadi Presiden MPP UIA, pernah ibu bapa datang menziarahi saya di UIAM. Kami makan di kafe. Kebetulan Prof Kamal pun masuk untuk makan. Almarhum melihat saya dan bertanya ‘Ni mak dan ayah?’ Saya jawab ‘Ya’. Dia tanya datang dari mana? Kelantan jawab saya. Almarhum terus duduk dan berbual dengan kami. Beliau cuba untuk bertutur Bahasa Melayu Kelantan. Walaupun Almarhum orang Kelantan tetapi mungkin kerana beliau sudah lama tidak menggunakannya menyebabkan Bahasa Melayu Kelantan kedengaran janggal dan lucu. Saya menahan geli hati apabila beliau berusaha juga bercakap Bahasa Melayu Kelantan bersama mak dan ayah saya.

Pernah suatu ketika, sewaktu saya menjadi Setiausaha Agung MPPUIA, Presiden MPPUIA didakwa kerana mengoyak poster IIIT dalam premis UIA. Almarhum memanggil saya ke pejabatnya dan bertanya saya mengenai senior saya itu. Saya jawab tidak tahu sebab saya tidak berada di tempat kejadian. Almarhum bertanya saya, kalau lihat kepada tingkah laku senior saya tersebut bagaimana? Saya jawab tidak munasabah beliau mengoyak poster IIIT kalau berdasarkan perangainya yang saya kenal. Almarhum tidak mengeluarkan sebarang komen negatif, mengutuk atau marah. Beliau sangat tenang.

Sewaktu saya terserempak dengan beliau di Masjid UIA, setelah lebih 20 tahun saya meninggalkan UIA, saya dan sahabat saya Dr Ismail Mamat bersalam dengan beliau. Kami berdua hendak mencium tangannya sewaktu bersalam tetapi beliau menarik segera tangan mengelak kami dari mencium tangannya. Begitulah tawaduknya beliau. 

Semoga Allah S.W.T mengampuni Almarhum Prof Kamal Hassan, memuliakan kedatangannya dan menempatkannya di dalam Syurga Firdaus Syurga yang tertinggi di sisi Allah S.W.T. Ameen.

AHMAD JAILANI ABDUL GHANI – HARAKAHDAILY 23/2/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/725494683/posts/pfbid0M18pjnAbgcv3RLZRdJj1hytBrkf8GVT8Xra7BptgM3jBWzbETw96SAiPvQo2s7iKl/?sfnsn=mo&mibextid=ktaAd4 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!