KOTA BHARU: Kerajaan PH-BN dilihat sengaja mencari perkara yang bersifat negatif semata-mata bagi memburukkan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN).
Terbaharu perarakan yang mengenakan pakaian ala-hulubalang pada era kegemilangan Islam pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) sengaja dijadikan isu oleh pihak tertentu.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, perarakan dengan membawa replika senjata merupakan perkara biasa dalam masyarakat bagi menggambarkan seni era kegemilangan Islam.
Namun, katanya apa yang berlaku sekarang pihak tertentu cuba menggambarkan dari sudut negetif sehingga ia boleh mengelirukan masyarakat bukan Islam.
“Tindak tanduk pihak terbabit boleh mengundang pandangan buruk terhadap orang Islam. Sedangkan apa yang cuba digambarkan pemuda PAS memperlihatkan seni kepahlawanan Islam zaman lampau.
“Sepatutnya perarakan pakaian ala pahlawan Islam dibanggakan semua orang Muslim terutamanya generasi muda yang tidak terdedah dengan sejarah lama,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Pengetua Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Bantuan Kerajaan Kelantan di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Engku Rajhan Engku Ismail dan Presiden Majlis Pengetua SMU (Arab) Mohamad Yusoff.
Baru-baru ini Pemuda PAS Terengganu mengadakan perarakan dengan mengenakan pakaian ala pahlawan Islam era lama sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT).
Ekoran itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor memberi amaran supaya semua pihak menghentikan perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru hara terhadap negara.
Abdullah berkata, pemakaian ala perang oleh pasukan menyertai perarakan hanya sekadar pertandingan pakaian beragam yang dianjurkan pelbagai pihak di seluruh negara sebelum ini.
“Tidak ada sebarang unsur yang boleh menggugat atau mencetus kebimbangan masyarakat kalau sekadar pertandinan pakaian kreatif,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!