K’jaan perlu fokus 10 perkara depani cabaran ekonomi global

- Advertisement -

PRESTASI ekonomi Malaysia yang diukur berdasarkan perbandingan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ke tahun menunjukkan peningkatan tertinggi sejak 2 dekad yang lalu apabila mencatatkan pertumbuhan 8.7 peratus pada tahun 2022 (2000: 8.9 peratus). Namun begitu, jika dilihat secara lebih mikro (perbandingan suku tahun ke suku tahun), prestasi ekonomi negara menguncup pada suku terakhir tahun 2022 pada kadar 2.6 peratus.

Justeru, kerajaan tidak boleh terlalu leka dan perlu melaksanakan langkah mitigasi yang tepat memandangkan ekonomi global pada tahun 2023 diunjurkan lebih merudum berbanding tahun 2022. Berikut adalah 10 cadangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu menjadi perhatian Kerajaan dalam memastikan ekonomi negara stabil dan segala permasalahan rakyat dapat diatasi sebaiknya.

1. Menilai semula kenaikan tarif elektrik.

Kenaikan tarif ini bakal menjejaskan lebih banyak PKSM (yang telah menyumbang sehingga 67 peratus kepada sektor pekerjaan dan hampir 40 peratus kepada ekonomi negara) serta industri pelancongan seperti hotel akibat bebanan kos elektrik yang tinggi.

Ia secara tidak langsung turut memberi kesan kepada pengguna untuk mengurangkan bebanan kos dan kerugian yang ditanggung oleh pihak industri.

Kenaikan tarif elektrik boleh dilaksanakan secara bersasar terutama kepada pihak yang mendapat keuntungan yang melebihi kebiasaan (konsep seperti cukai durian runtuh yang hanya dikenakan pada syarikat yang mendapat untung tinggi lebih daripada kebiasaan).

2. Melakukan kerjasama dengan pihak bank untuk pelaksanaan moratorium bersasar.

Kenaikan OPR yang berterusan telah menjejaskan pendapatan boleh guna rakyat dan mengurangkan kuasa beli mereka. Pelaksanaan moratorium bakal meningkatkan kembali perbelanjaan pengguna seterusnya menjana ekonomi negara.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu memastikan tiada bank yang mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat.

Penting bagi kerajaan untuk terus mewujudkan kesedaran dan mendidik masyarakat agar celik kewangan dan berhati-hati dalam urusan kewangan.

3. Merancang pengeluaran KWSP yang lebih berstrategi.

Jika pengeluaran KWSP ingin dibenarkan, kerajaan perlu memastikan individu yang mengeluarkan KWSP adalah mereka yang benar-benar layak dan memerlukan. 

Kerajaan juga sewajarnya memberikan alternatif pilihan lain terhadap individu yang ingin mengeluarkan simpanan KWSP sebagai perancangan masa depan yang baru demi menjamin kestabilan diri individu tersebut masa sekarang dan masa hadapan.

4. Meluaskan pelaksanaan skim rent-to-own.

Skim ini telah banyak membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah tanpa perlu mengeluarkan deposit yang banyak dan turut menjamin pembiayaan perumahan.

Ia juga mampu merealisasikan slogan perumahan mampu milik terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

5. Mewujudkan kedai runcit setempat.

Usaha ini memerlukan kolaborasi antara pihak kerajaan, koperasi dan masyarakat setempat.

Platform seumpama ini mampu menawarkan barangan keperluan asas dan bahan mentah pada harga lebih rendah dan dengan lokaliti yang lebih baik untuk penduduk setempat. 

Pada masa yang sama, kerajaan juga wajar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara asing yang mengoperasikan perniagaan tanpa permit dan tidak membayar cukai kepada negara seperti kedai Acheh, Bangladesh dan sebagainya.

6. Mengurangkan kebergantungan kepada produk import.

Kerajaan sewajarnya berusaha memaksimakan pengeluaran di dalam negara bagi memenuhi permintaan domestik terutama terhadap produk sayuran dan ternakan di samping ia dapat menjamin keselamatan makanan. 

Cadangan untuk mewujudkan projek berskala sederhana dan kecil perlu dipertimbangkan bagi merancakkan pengeluaran hasil pertanian dan penternakan sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Tanah-tanah terbiar dan berpotensi milik kerajaan boleh disewakan untuk tujuan pertanian bagi mengelakkan pembaziran sumber (resources).

7. Mengurus tadbir negara secara lebih profesional dan matang.

Kerajaan wajar menunjukkan contoh sikap profesionalisme dalam menguruskan pentadbiran dan urusan berkaitan negara sesuai dengan konsep madani yang digagaskan.

Setiap pimpinan kerajaan bermula daripada Perdana Menteri perlu mengelakkan politik dendam dan budaya ‘scrape-off’ dalam setiap tindakan kerana kesannya akan dirasai oleh rakyat.

Dengan ini, kestabilan politik negara akan dapat dicapai seterusnya memberi keyakinan kepada pelabur untuk datang ke Malaysia.

8. Menyeimbangkan pembangunan antara wilayah.

Bagi merapatkan jurang antara negeri, Belanjawan Tahunan Persekutuan perlu mengutamakan lima negeri kurang membangun seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dengan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada perbelanjaan pembangunan. 

Perkara ini juga memerlukan semangat federalisme yang tinggi dalam kalangan pemimpin Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri walaupun berbeza wadah politik.

Segala bentuk pilih kasih sama ada di peringkat mikro mahupun makro perlu dielakkan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

9. Meningkatkan pelaburan berkualiti tinggi.

Dengan pengukuhan KDNK Malaysia pada tahun 2022, kerajaan sepatutnya mengambil peluang ini untuk menarik lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara.

Kerajaan perlu memberi fokus terhadap pelaburan berkualiti tinggi supaya dapat menawarkan peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran sederhana dan tinggi dan tidak menjadi punca lambakan pekerja asing yang berkemahiran rendah. 

Penawaran rebat cukai untuk tempoh masa tertentu berupaya menjadi daya penarik kepada lebih ramai pihak pelabur domestik dan Antarabangsa.

10. Mengkaji perubahan struktur gaji di Malaysia.

Kerajaan wajar memulakan tindakan untuk melakukan perubahan terhadap struktur gaji di negara ini.

Perubahan kenaikan pendapatan berlaku dengan sangat perlahan, berbeza dengan perubahan kenaikan harga barangan yang laju.

Namun begitu, perubahan struktur gaji ini perlu mengambil kira faktor produktiviti pekerja yang berkait langsung dengan peningkatan kemahiran pekerja dari masa ke masa.

Justeru, pelaksanaan inisiatif jangka panjang ini memerlukan langkah yang tuntas daripada pihak Kerajaan selain mengharapkan kerjasama yang erat daripada sektor swasta.

10 perkara ini adalah antara cadangan solusi kepada Kerajaan Persekutuan berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan perkongsian yang didapati oleh beberapa pakar ekonomi di dalam negara seperti Prof Madya Dr Anuar Shah, Prof Madeline Berma, Prof Madya Dr Norlin Khalid dan beberapa individu lain bagi menangani isu-isu rakyat serta bersempena dengan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan esok.

ASYRAF SALLEH
Felo The Research – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -