Kadar kebolehpasaran graduan 85.5 peratus pada 2021

Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021-2025 yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi pada 16 Oktober 2021 dibangunkan secara kolaboratif melalui sesi libat urus yang melibatkan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan, pegawai fokal universiti, kementerian dan jabatan lain, agensi, badan berkanun serta industri yang berkaitan.

- Advertisement -

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan PSKG merupakan satu dokumen strategik yang menjadi rujukan dan panduan kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) untuk menjayakan matlamat kebolehpasaran graduan dalam tempoh 2021 hingga 2025.

Katanya, tiga objektif strategi PSKG adalah melahirkan graduan IPT yang holistik, berciri keusahawanan dan kompetitif seiring dengan revolusi teknologi, menyediakan graduan berkemahiran tinggi serta mampu mengisi keperluan industri tempatan dan global seiring dengan dinamika ekonomi dan teknologi dan membangunkan bakat graduan bagi peningkatan sosioekonomi negara yang seimbang dan mampan.

“Pelan ini menggariskan empat strategi utama iaitu Pengukuhan Kecemerlangan Bakat, Peluasan Kerjaya Pelajar, Pemantapan Pengajaran dan Pembelajaran serta Pemerkasaan Hubungan Industri,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Datuk Ahmad Marzuk Shaary [PN-Pengkalan Chepa] yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sejauh mana keberkesanan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.

Menruutnya, keberhasilan empat strategi itu diukur melalui inisiatif dan aktiviti yang dilaksanakan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan, antaranya adalah melalui pencapaian kadar kebolehpasaran graduan yang dilaporkan pada setiap tahun.

Pada tahun 2021, ujarnya kadar kebolehpasaran graduan ialah 85.5 peratus, iaitu meningkat sebanyak 1.1 peratus berbanding pencapaian tahun sebelumnya.

“Kadar ini juga melebihi 0.4 peratus berbanding dengan sasaran 85.1 peratus yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya lagi.

Selain itu, jelasnya peratusan lulusan IPT yang menceburi bidang keusahawanan selepas menamatkan pengajian pada tahun 2021 mencatatkan 9.7 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak 6.0 peratus seperti di dalam pelan strategik ini.

Tambahnya, penglibatan industri dalam membantu membangunkan bakat mahir yang memenuhi keperluan industri (industry-ready) dan graduan kalis masa hadapan (future-proof graduates) juga telah direalisasi melalui program rintis Degree Apprenticeship di bawah kelolaan Bahagian Kecemerlangan Akademik, JPT bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan McDonald’s Malaysia pada Oktober 2022.

Katanya lagi, program berbentuk sebegini akan diperluaskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih banyak industri berkepentingan.

KPT akan terus komited untuk memastikan bahawa Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 itu dilaksanakan seperti yang telah dirancang serta sasaran yang ditetapkan dapat dicapai melalui mekanisme pemantauan yang berterusan dan sistematik, ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/2/2023