41,467 siswazah sedang menganggur – KPT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Statistik terkini siswazah yang sedang menganggur di negara ini adalah seramai 41,467 berdasarkan data rasmi dari Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

- Advertisement -

Menurut KPT, jumlah itu hanya 14.5 peratus daripada 286,299 graduan warganegara yang menamatkan pengajian serta menjawab kajian pada tahun 2021.

Bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan siswazah, KPT telah melaksanakan inisiatif secara berterusan bagi memastikan bakat dan kemahiran yang pelbagai (multi talents and skills) dapat diberikan kepada mereka.

Jamaludin Yahya

KPT menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Jamaludin Yahya [PN-Pasir Salak] yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan statistik terkini siswazah yang sedang menganggur di negara ini dan menyatakan langkah-langkah segera untuk menangani isu ini.

Menurut KPT lagi, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah pelaksanaan semakan dan penambahbaikan kurikulum secara berkala dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi memastikan pelajar yang mengambil bidang berkenaan mempunyai daya saing serta kebolehpasaran yang tinggi sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian.

Selain itu, ujarnya Pembangunan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 sebagai dokumen strategik dan rujukan utama IPT bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui empat strategi yang telah digariskan, iaitu Pengukuhan Kecemerlangan Bakat; Peluasan Kerjaya Pelajar; Pemantapan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP); dan Pemerkasaan Hubungan Industri.

Tambahnya, pelaksanaan padanan pekerjaan kepada graduan menerusi kolaborasi dengan PERKESO dalam memastikan graduan yang masih belum bekerja dipadankan dengan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan akademik mereka.

“Inisiatif ini dilaksanakan melalui Portal MYFutureJobs atau Karnival Kerjaya yang dianjurkan oleh IPT dan PERKESO,” katanya.

Ujarnya, pengukuhan agenda keusahawanan atau Job Creator di IPT menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021- 2025 juga dilaksanakan dan pelaksanaan program latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran seperti Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan (GE). – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -