Wujudkan insentif khas anak muda hendak berkahwin

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

SAYA mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi di P.023 Rantau Panjang yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk terus mewakili rakyat di Rantau Panjang masuk penggal keempat di Dewan Rakyat ini.

- Advertisement -

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan dan undi kepada Perikatan Nasional. Mulakan dengan satu maksud hadis Nabi SAW, ada empat tanda apabila seseorang itu mempunyai sifat ini, dia adalah seorang munafik tulen iaitu pertama, apabila diberi amanah dia khianat, apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila berselisih dia melampaui batas dan berdendam.

Tuanku dalam titah ucapan telah menyentuh isu tentang pemerkasaan wanita yang mana wanita menjadi tonggak institusi keluarga. Jadi, potensi wanita perlu dikembangkan. Saya ingin penjelasan, apakah program untuk mengatasi jurang ekonomi wanita yang masih tinggi terutama wanita bandar dan luar bandar termasuk di pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak?

Apakah program-program pemerkasaan ibu tunggal pasca pandemik Covid-19? Apakah pencapaian setakat ini untuk memastikan penglibatan wanita dalam bidang industri berbentuk teknologi tinggi termasuk teknologi yang tertinggi untuk mendepani masa depan? Apakah peluang penyertaan wanita terutama dalam bidang-bidang kemahiran baharu dalam pembangunan kepakaran untuk mengupayakan wanita supaya terlibat dan mereka dapat melibatkan diri sama ada sektor awam ataupun swasta?

Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan tahniah atas usaha kerajaan untuk cadangan pindaan Perlembagaan isu kerakyatan anak yang mana usaha ini telah dimulakan sejak zaman pentadbiran sebelum ini. Saya ingin tahu, apakah kaedah yang akan digunakan oleh pihak kerajaan agar tiada pihak yang mengambil kesempatan atau manipulasi daripada pemilikan kewarganegaraan ini?

Saya mencadangkan juga supaya kerajaan mewujudkan satu insentif khas kepada anak-anak muda iaitu untuk mendirikan rumah tangga sebagaimana yang telah dibuat oleh Kerajaan Kelantan iaitu program Az-Ziwaj iaitu bantuan khas kepada pasangan muda yang baru hendak berkahwin dengan bantuan kewangan untuk memudahkan perkahwinan di kalangan golongan yang kurang mampu ataupun B40.

Saya ingin juga menyentuh tentang kesejahteraan OKU yang mana disentuh oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk memelihara kesejahteraan OKU dan mengkaji semula Akta OKU 2008. Saya mengharapkan pindaan ini mengambil kira pembangunan OKU dalam konteks yang rentas sektor yang mana menunjukkan keprihatinan daripada pelbagai kementerian dan agensi.

Juga, saya ingin memohon supaya kerajaan mempertimbangkan supaya peralatan sokongan untuk OKU disubsidikan ataupun dijual dengan harga yang lebih murah. Ini termasuk juga supaya alat-alat sokongan OKU percuma kepada pelajar-pelajar di IPT, bagi mereka yang kurang mampu ataupun berpendapatan rendah.

Kita mengharapkan juga supaya kerajaan memperkasakan iaitu kemudahan yang mesra OKU terutama di semua bangunan awam dan swasta. Kita harapkan juga diperbanyakkan lagi penglibatan OKU dalam agenda pembangunan negara dan menggilap potensi OKU. Saya juga mencadangkan supaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi perhatian kepada pembangunan kerohanian kepada semua kumpulan sasar sebab ia menjadi teras dalam pembinaan insan.

Saya ingin menyentuh juga tentang keseimbangan ekonomi antara wilayah. Saya mengambil kesempatan ini menggesa supaya Perdana Menteri ke-10 supaya menghentikan budaya politik balas dendam. Fokus kepada politik untuk pulihkan negara dan bantu ekonomi rakyat yang dalam keadaan kesusahan. Kita dapati hasil daripada pandemik Covid-19, lebih daripada 37,415— bagaimana kita melihat kesan ada syarikat-syarikat perniagaan yang gulung tikar.

Apakah usaha kerajaan untuk memulihkan semula keyakinan kerajaan untuk tingkatkan ekonomi negara? Apakah usaha kerajaan untuk kurangkan jurang ekonomi antara Pantai Barat dan Pantai Timur yang kita dengar rata-rata keluhan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini? Apakah usaha yang telah dibuat oleh kerajaan dan kenapa kerajaan tidak meletakkan supaya bantuan ataupun peruntukan kepada Ahli Parlimen sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto diberi kepada semua Ahli Parlimen? Begitu juga usaha untuk tangani jurang ekonomi antara masyarakat di bandar dan di luar bandar.

Saya ingin juga menyentuh tentang pembangunan di Kelantan terutama negeri Pantai Timur. Apakah inisiatif yang telah dibuat oleh pihak kerajaan terutama dalam membangunkan bandar-bandar di sempadan? Saya ingin tahu tentang projek tebatan banjir yang telah dijanjikan oleh kerajaan. Oleh sebab kita lihat pembangunan bandar-bandar sempadan sangat penting terutama dalam menaikkan ekonomi. Sejauh manakah kajian dibuat untuk naik taraf Sungai Golok yang saya kira di antara punca utama berlakunya banjir?

Seharusnya ada perundingan antara Menteri Luar Negeri kita dengan Menteri Luar Thailand untuk melihat kepentingan bersama. Ini termasuk juga undang-undang yang berkaitan antara kedua-dua negara.

Saya ingin penjelasan tentang pembinaan Jambatan Sungai Golok di Rantau Panjang yang telah dijanjikan. Sejauh mana projek ini akan dilaksanakan? Begitu juga pembinaan Jambatan Tak Bai, Pengkalan Kubor di Tumpat. Begitu juga projek fasa 2 untuk tebatan banjir di Rantau Panjang. Begitu juga projek Lebuhraya Pantai Timur fasa 3. Saya mohon supaya dilihat juga untuk naik taraf landasan kereta api Pantai Timur Gua Musang- Tumpat yang sudah tentu sekiranya perkara ini dapat diselesaikan, memberi kesan ekonomi kepada rakyat.

Saya ingin juga memohon penjelasan supaya kerajaan pada hari ini untuk mempertimbangkan royalti yang menjadi hak rakyat Kelantan supaya terus diberi wang tunai sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Akta Petroleum 1974. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah binti Mohd Yusoff semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.

- Advertisement -