‘The real target’: Tan Sri Muhyiddin Yassin

- Advertisement -

PERTUDUHAN hari ini jelas menunjukkan bahawa politik balas dendam dan penganiayaan  terhadap lawan yang tidak senada dengan kerajaan terus menjadi keutamaan kerajaan ini.

Pertuduhan ke atas YB Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan BERSATU ini jelas bersifat politik yang bertujuan menekan musuh politik kerajaan khususnya pembangkang untuk membunuh karakter parti BERSATU dan PERIKATAN NASIONAL (PN) menjelang 6 Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung pada tahun ini.

Kami amat kesal kerana YB Datuk Wan Saiful Wan Jan dipanggil semalam namun hanya diberitahu akan didakwa hari ini setelah beliau hadir dan ditahan serta merta oleh SPRM. Beliau tidak dapat membuat persediaan sewajarnya dan ia bertujuan untuk memalukan beliau pada pagi tadi.

Ini merupakan satu pendakwaan politik yang berlapis dendam dan berniat jahat untuk menekan pembangkang. Demi mengalih perhatian rakyat dan dunia kepada kes-kes yang lebih besar seperti kapal tempur LCS yang masih belum didakwa pelaku utamanya, kes mahkamah 47 pertuduhan melibatkan Timbalan Perdana Menteri – pendakwaan terpilih ini dicipta. Ianya jelas sekali satu tindakan bacul dan keanak-anakan serta satu taktik politik yang zalim.

Sasaran sebenar ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami tidak terkejut kalau Tan Sri Muhyiddin juga akan diheret sama seperti Datuk Wan Saiful selepas ini. Mereka mahu lumpuhkan BERSATU dalam apa jua cara sekali pun. Ini bukan pertama kali BERSATU berdepan dengan ancaman seperti ini dan kami tidak akan berganjak walau sedikit pun dalam berdepan dengan tekanan politik ini.

YB WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Ahli Parlimen Machang – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -