Tegas tangani isu pemerdagangan manusia

- Advertisement -

SAYA mengamati berita berkenaan isu pemerdagangan manusia yang telah menjadi isu hangat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Saya mendapat tahu bahawa berjuta-juta ringgit laba keuntungan dikaut dengan mengorbankan sehingga mencecah berjuta-juta mangsa penyeludupan manusia tanpa mengira usia. Saya ingin memberi contoh, terdapat laporan bahawa remaja lelaki dan perempuan telah dipaksa melakukan kerja keras atau dijual untuk pelbagai tujuan. Malahan, wanita dan gadis juga telah diperdagangkan untuk eksploitasi, dipaksa menjadi dalam pelacuran atau perkahwinan. Manakala bagi lelaki pula, yang dibelit dengan masalah hutang akan menjadi hamba di lombong, ladang dan sebagainya.

Bahkan, kita digemparkan baru-baru ini dengan berita pemerdagangan rakyat Malaysia di Myanmar. Mangsa pemerdagangan ini dilaporkan telah dipaksa bekerja tanpa menerima gaji secukupnya dan keperluan asasi yang lengkap. Namun, saya percaya berita ini hanya sebahagian kecil dari ribuan kes pemerdagangan yang masih disembunyikan dari pihak berkuasa. 

Saya mendapat tahu dalam Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, pemerdagangan orang bermaksud segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan, dan termasuklah perbuatan merekrut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang bagi maksud eksploitasi. Eksploitasi pula adalah segala bentuk eksploitasi seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian dan apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia.

Rang Undang-undang (RUU) Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 telah menaikkan hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun bagi kesalahan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan menzahirkan mesej tentang kenaikan hukuman penjara ini seluas-luasnya bagi menimbulkan kegerunan kepada masyarakat berkenaan jenayah ini.

Saya juga menyokong Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sebelum ini mengumumkan bahawa mereka menggandakan usaha dalam memerangi jenayah terancang membabitkan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. PDRM kini mempertingkatkan kawalan bagi menghalang kegiatan itu menerusi ‘laluan tikus’ di beberapa sempadan negeri dengan pembinaan pos kawalan di sempadan ditambah pula dengan penggunaan teknologi seperti dron.

Saya berharap semua pihak terus bekerja keras dalam melakukan kerjasama erat untuk menghapuskan jenayah ini dari terus berkembang di dalam negara kita. Jenayah ini dikhuatiri akan memangsai anak-anak di sekeliling kita yang mana usaha yang konkrit sudah gagal pada ketika itu dalam melindungi mereka. Saya percaya, selagi mana wujudnya petualang negara dalam sindiket pemerdagangan manusia ini, kita tidak mampu bernafas lega atas keselamatan anak-anak kita.

“Malaysia Sejahtera”

YB TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!