BUAT julung kalinya, saya berbahas di Dewan yang mulia ini. Sejarah telah tercipta di Hulu Selangor. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menerusi Perikatan Nasional telah memenangi Parlimen Hulu Selangor.
Izinkan saya merakamkan jutaan terima kasih kepada pengundi-pengundi Parlimen Hulu Selangor yang telah memberi kepercayaan kepada saya dan insya-Allah, saya akan menunaikan tanggungjawab saya sebaik mungkin tanpa mengira latar belakang politik sama ada memberi sokongan kepada saya mahupun tidak. Saya kini menjadi milik rakyat Hulu Selangor. Saya sedia berkhidmat. Terima kasih juga buat MP yang lama, Puan June Leow yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Saya ingin mengambil kesempatan sebaik mungkin dalam perbahasan saya dan saya mohon memfokuskan perbahasan saya khususnya, di Parlimen Hulu Selangor dan ada antara perbahasan ini bersifat umum. Saya mohon untuk tiada celahan semasa saya sedang berbahas.
Daerah Hulu Selangor adalah daerah yang terbesar di negeri Selangor. Keluasannya bersamaan 1,758 kilometer persegi. Besar sedikit dari Melaka, dan dua kali Perlis. Tuan Yang di-Pertua, dalam titah baginda Yang di-Pertuan Agong, ada menyentuh mengenai infrastruktur. Jelas di sini, infrastruktur adalah satu perkara yang penting yang perlu diambil perhatian.
Perkara pertama yang saya ingin sentuh, Hulu Selangor ingin menyentuh berkaitan dengan infrastruktur khususnya jalan raya dan lampu jalan. Isu ini juga telah dibangkitkan oleh beberapa orang pembahas sebelum ini. Hulu Selangor mohon supaya pihak kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya dapat melihat semula dari sudut meluluskan sesuatu peruntukan kepada kawasan-kawasan yang luas ini. Ini disebabkan banyak jalan-jalan yang bermasalah tidak dapat diperbaiki atas faktor kekurangan dana.
Kesan daripada permasalahan ini, ia mengancam keselamatan pengguna jalan raya terutama yang melibatkan motosikal yang sering berlaku kemalangan. Sungguhpun Hulu Selangor berada di utara negeri Selangor, kini Hulu Selangor telah pun dinaiktarafkan kepada perbandaran dan sewajarnya Hulu Selangor mendapat perhatian oleh pihak kerajaan bagi menaik taraf jalan-jalan persekutuan.
Oleh sebab itu, Hulu Selangor memohon diambil perhatian oleh pihak kerajaan untuk meluluskan dengan kadar segera permohonan untuk membaiki jalan-jalan dan lampu jalan di jalan-jalan persekutuan. Juga, mohon kerajaan pusat meluluskan peruntukan bagi menaik taraf dan menurap semua Jalan Persekutuan FT01 dari Sungai Choh ke Bukit Beruntung yang rosak dan juga mohon pelebaran jalan dibuat di Jalan Sungai Buaya FT1028 ke Jalan Tanjung Malim FT3208. Ia merupakan jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan sepertimana laluan Tanjung Malim ke Tapah.
Hulu Selangor mohon mempercepatkan pembinaan klinik kesihatan di Bukit Sentosa yang telah lama dipohon. Jawapan yang telah diberikan oleh Menteri Kesihatan pada sesi yang lepas, Klinik Kesihatan Bukit Sentosa dilaksanakan secara land swap dan sedang dibuat perancangan untuk pembinaan. Sehingga sekarang, saya tidak tahu apakah perkembangan berkaitan dengan klinik kesihatan yang telah lama pun dibincangkan.
Oleh sebab itu, Hulu Selangor memohon pihak kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan segera mewujudkan klinik kesihatan di Bukit Sentosa atas sebab kepadatan penduduk. Ia bagi menampung keperluan penduduk di Bukit Beruntung, Bukit Sentosa dan Sungai Buaya yang berjumlah lebih kurang 100,000 orang penduduk, mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Serendah.
Hulu Selangor lagi sekali ingin menyentuh Kementerian Kesihatan yakni untuk menaik taraf Hospital Kuala Kubu Bharu. Kepadatan penduduk daerah Hulu Selangor merupakan daerah terbesar, daripada sembilan buah negeri di daerah yang terletak di utara negeri Selangor. Jumlah penduduk lebih 240,500 orang. Jumlah kedatangan purata harian kedatangan pesakit di Unit Kecemasan dan Trauma, sebanyak 36,022 orang pesakit pada tahun 2021.
Mengikut purata harian, 99 orang pesakit. Unit Pesakit Luar sebanyak 27,217 orang jumlah pesakit pada tahun 2021, dan bersamaan dengan 110 orang pesakit mengikut purata harian. Unit Patologi pesakit dalam memberi kesan kepada pekerja makmal iaitu 67,783 orang dan untuk pesakit luar beban kerja makmal sebanyak 262,211 orang bagi tahun 2021.
Kesannya adalah masa menunggu untuk rawatan susulan lama. Begitu juga masa yang lama bagi pesakit luar mendapatkan rawatan. Kelam kabut jadinya, tujuh minit inilah jadinya. Tuan Yang di-Pertua, Hulu Selangor mohon pihak kerajaan menambah kekerapan lawatan doktor pakar. Mengikut maklumat, perkhidmatan pakar kebanyakannya dari Hospital Selayang yang akan datang ke Hospital KKB bagi menampung keperluan meningkat pesakit di sini.
Kedua, menambah pelbagai perkhidmatan pakar kesihatan yang dapat memberi khidmat nasihat di Hospital KKB. Contohnya, Unit Endokrin. Pembinaan bangunan baru bahagian kecemasan di Hospital KKB juga telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen yang sebelum ini. Manakala, cadangan bagi pihak menaik taraf Jabatan Kecemasan di Hospital Kuala Kubu Bharu sedang disemak oleh kementerian untuk dipertimbangkan sebelum diangkat dan Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-12 tahun hadapan. Bermakna, telah pun dibentangkan sebelum ini dan saya mohon kementerian untuk memberikan penjelasan.
Perkara yang keempat, Hulu Selangor ingin menyentuh mengenai keperluan penting bagi mewujudkan balai bomba di gugusan FELDA Batang Kali dan Kalumpang. Justifikasi keperluan balai dan fasiliti kebombaan hanya menjaga nyawa dan harta benda.
Secara ringkasnya bahawa – memandangkan masa yang tidak mencukupi ini – bahawa ketiga-tiga tempat yang saya maklumkan tadi jaraknya adalah melebihi 10 minit, yang mana ia telah pun melebihi piawaian yang telah ditetapkan. 29 saat lagi.
Saya mohon supaya perkara ini tolong diambil perhatian, terutamanya yang melibatkan FELDA iaitu Felda Soeharto yang mana jarak Felda Soeharto ini terlalu jauh dari balai bomba yang berdekatan iaitu di Tanjong Malim, Bukit Beruntung dan juga Kuala Kubu Bharu. Mohon diambil perhatian. Saya tidak sempat hendak membaca semua tetapi mohon untuk diambil perhatian berkaitan dengan balai bomba ini.
Kawasan sama juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Felda Wilayah Trolak yang mana keempat-empat FELDA ini di bawah Felda Wilayah Trolak kerana kesudian untuk membincangkan banyak isu yang melibatkan isu peneroka. Semoga pertemuan baru- baru ini dapat menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan juga oleh Yang Berhormat Kuala Krau.
Begitu juga saya ucapkan terima kasih buat FELDA HQ dan PKNS atas kesudian berjumpa dengan saya bagi menyegerakan dan menyelesaikan isu rumah generasi kedua di Felda Sungai Tengi Selatan. Saya mengharapkan agensi-agensi lain seperti Air Selangor, KUSEL dan lain-lain agensi dapat membantu FELDA dan PKNS menyegerakan dan menyiapkan rumah generasi kedua.
Terakhirnya mohon Yang Berhormat Menteri Pengangkutan semak jadual penghantaran saman AES kepada pesalah. Sebagai contoh, kejadian telah berlaku pada bulan Jun 2022 tetapi baru diterima pada Februari 2023. Mohon untuk disemak. – HARAKAHDAILY 22/2/2023
Petikan ucapan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.