KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa agar memberi perhatian serius terhadap beberapa projek penting untuk rakyat Jasin yang tertangguh sekian lama.
Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata, projek berkenaan telah mendapat kelulusan dan bajet namun masih tertangguh.
Katanya, antara projek berkenaan pembinaan Balai Polis Sungai Rambai, Klinik Kesihatan Sungai Rambai dan pembangunan Pekan Sungai Rambai.
“Keutamaan perlu diberikan kepada pembinaan Balai Polis Sungai Rambai yang tertangguh sedangkan telah diluluskan sejak 2008 dengan bajet RM12 juta. Kemudian pada 2015 peruntukan baharu telah diberikan dengan bajet RM20 juta, tetapi masih tertangguh.
“Seterusnya yang terakhir pada tahun 2017 mendapat semula peruntukan sebanyak RM24 juta, namun status pembinaan kekal tertangguh hingga hari ini,” katanya ketika perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, Klinik Kesihatan Sungai Rambai pula terlalu sesak dan tidak dapat menampung kapasiti penduduk kawasan itu yang semakin meningkat.
“Walaupun pembinaan diluluskan sejak 2004, namun pembinaannya sampai ke hari ini terus tertangguh. Sehingga kawasan tapak pembinaan yang bersebelahan Sekolah Menengah Sungai Rambai bertukar menjadi belukar yang membahayakan.
“Ketiga, ‘Pelan Pembangunan Pekan Sungai Rambai’ dengan anggaran peruntukan RM200 juta yang telah diluluskan dan penukaran status Sungai Rambai kepada Daerah Kecil Sungai Rambai yang juga dilulus dalam Kabinet pada tahun 2018 sehingga hari ini masih tertangguh,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/23
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!