
MANILA: Polis Filipina menjalankan operasi besar-besaran memburu dua lelaki penunggang motosikal yang menembak dan membunuh seorang lelaki New Zealand dalam insiden rompakan jalanan, dikhuatiri boleh menakutkan pelancong asing datang ke negara itu.
Pihak polis melalui kenyataan Mejar Jeneral Jonnel Estomo pada Rabu (22 Feb) berkata, pelancong malang berusia 34 tahun, dikenali sebagai Nicholas Peter Stacey, maut ditembak sekali di dada, lapor AP.
“Dalam insiden rompakan tersebut, mangsa cuba merampas pistol daripada salah seorang daripada dua perompak yang menahan dia dan teman wanita Filipinanya pada Ahad (19 Feb) di jalan pinggir bandar di daerah kewangan Makati, Manila.
“Kami kesal akan kejadian ini dan menyampaikan simpati kami kepada keluarga mangsa,” kata Estomo, sambil menambah beliau telah mengarahkan polis untuk memburu penjenayah terbabit sehingga di bawa ke muka pengadilan.
Walaupun beliau menyifatkan rompakan jalanan yang membawa maut membabitkan Stacey itu sebagai kejadian terpencil, namun Estomo mengakui ia berpotensi menakutkan pelancong asing datang ke negara itu.
“Rondaan polis akan dipertingkatkan untuk mengelakkan kejadian berulang, kata Estomo, yang mengetuai polis Metropolitan Manila.
“Kami tahu bahawa kejadian ini boleh mencetuskan ketakutan dalam kalangan pelancong, yang merancang untuk melawat negara ini.
“Jadi, kami akan memastikan mangsa yang terbunuh akan mendapat keadilan sewajarnya dan menunjukkan bahawa polis sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat masyarakat tempatan dan asing,” katanya lagi.
Teman wanita mangsa, Pamela Gaye Villanoza, memberitahu penyiasat bahawa dia dan Stacey baru tiba di wilayah ibu negara dari percutian di wilayah pulau barat Palawan; dan sedang berjalan ke sebuah kedai dobi pada awal jam selepas menjelang tengah malam apabila suspek tiba-tiba menghampiri motosikal yang dinaiki mereka.
Menurut Villanoza, salah seorang daripada mereka turun dan mengacukan pistol ke arah pasangan itu, manakala rakannya meletakkan motosikal beberapa meter dari situ.
“Nicolas bergelut dengan lelaki bersenjata sebelum di ditembak dan dibunuh,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!