KUALA LUMPUR: Misi dan dana bantuan Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) kepada Turkiye dan Syria susulan gempa bumi yang melanda kedua negara itu menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM1 juta.
Misi berkenaan akan diketuai Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama beberapa Ahli Parlimen PN lain serta dijangka bertolak ke Turkiye pada 2 Mac ini dan pulang pada 7 Mac.
Antara Ahli Parlimen yang turut serta ialah Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Datuk Awang Hashim (Pendang), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) serta Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).
Selain itu, delegasi akan disertai Ketua Sekretariat Aid for Turkiye and Syria, Mohd Yusni Mat Piah; Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Nuridah Mohd Salleh; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan beberapa individu lain termasuk dua wartawan.
Menurut ketua delegasi, sumbangan kewangan yang dibawa untuk misi kali ini akan memberi tumpuan kepada keperluan mendesak mangsa di sana.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh dari badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan di Turkiye dan Syria, antara keperluan mendesak adalah pakaian musim sejuk.
Selain itu, khemah sementara, alat pemanas, makanan, dan ubat-ubatan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen PN kepada Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Parlimen, hari ini. – HARAKAHDAILY 22/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!