Perubahan politik Pasir Salak sejak 60 tahun

Ustaz Jamaludin Yahya
- Advertisement -

FIRMAN Allah maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan suatu cubaan. Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Maka dengan ujian yang demikian, nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuinya tentang orang-orang yang berdusta”.

- Advertisement -

Terlebih dahulu Pasir Salak menjunjung kasih ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas titah baginda yang mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat tanpa mengira parti pada 13 Februari 2023 yang lalu. Pasir Salak ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera Perikatan Nasional Pasir Salak dan istimewa buat pengundi Pasir Salak kerana telah memberi undi kepada Perikatan Nasional dalam PRU-15 yang lalu.

Ia merupakan gelombang baharu lagi hebat dalam perubahan politik Pasir Salak sejak 60 tahun. Pasir Salak menganggap gelombang kepercayaan ini juga bermaksud keinginan pengundi Pasir Salak berubah kepada keadaan yang lebih baik berlaku di Pasir Salak. Pasir Salak dengan penuh insaf dan sedar tentang keinginan ini, maka Pasir Salak berdiri di sini mewakili penduduk Pasir Salak untuk menzahirkan hajat dan kehendak mereka. Ini adalah permulaan kepada usaha seterusnya mengangkat hasrat pengundi. Pasir Salah yakin permintaan rakyat Pasir Salak akan diberi perhatian.

Tuan Yang di-Pertua dan sidang Parlimen yang dihormati sekalian, Pasir Salak memiliki lebih 100,000 orang penduduk dan 80,000 orang pengundi. Kebanyakan mereka tergolong dalam kategori miskin. Mereka tinggal di kampung-kampung tradisional sebanyak 89 buah kampung dengan pekerjaan utama adalah sebagai pesawah padi, pekebun kecil kelapa sawit, penoreh getah dan nelayan darat. Mereka memiliki semangat nasional yang tinggi, tetapi masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi dan kemudahan.

Jika diperhatikan, kebanyakan mereka menggunakan motosikal sebagai kenderaan harian dan jika berkereta pun, hanya Proton Saga ataupun Kancil yang nilai semasa hanya RM3,000. Namun, apabila hendak memperbaharui cukai jalan, kereta Kancil yang bernilai RM3,000, pihak insurans meletakkan nilai setinggi RM10,000. Ini keadaan yang sangat pelik dan perlu perhatian kerajaan. Pihak insurans meletakkan nilai sesuka hati dan tidak logik.

Dalam perbahasan ini, saya ingin mengemukakan beberapa aspek penting demi kesejahteraan masyarakat Pasir Salak. Mungkin maslahat ini juga dialami oleh tempat lain.

Pertama, kelangsungan hidup pesawah dan nelayan darat. Pesawah di Pasir Salak ini sangat sederhana, tidak banyak yang hendak ditagih dan mereka tidak meminta yang bukan-bukan. Apa yang mereka mahu adalah dapat membuat sawah dua kali setahun dengan air yang cukup. Cukup bererti tidak lebih dan tidak kurang. Anak padi akan mati jika terlalu dalam airnya dan padi tidak menjadi jika tidak cukup air. Bagi sawah yang tidak cukup air kerana aras sawah mereka berada lebih tinggi daripada saliran, maka Pasir Salak ingin memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar membantu pesawah merendahkan aras sawah mereka daripada aras saliran. Malah, ini banyak berlaku di kawasan Sungai Keruing di Sungai Manik. Para pesawah terpaksa menggunakan jentera sendiri untuk mengepam air dari saliran ke sawah.

Bagi sawah yang berada di bawah aras saliran, mereka memerlukan bantuan agar air ke sawah dapat dikawal. Lebih spesifik, Pasir Salak merujuk kepada masalah rumah pam di Pulau Besar yang sudah pun rosak. Maka, Pasir Salak mencadangkan agar semua pam di Pulau Besar yang rosak diganti segera. Kajian mendapati keadaan pam tersebut adalah beyond economical repair atau tidak berbaloi dibaiki. Ia wajar diganti baharu.

Kedua, gagasan ekonomi baharu Pasir Salak. Tuan Yang di-Pertua, seperti yang Pasir Salak nyatakan, kehidupan penduduk Pasir Salak tertumpu pada pertanian tradisi, tidak dapat meningkatkan taraf hidup secara mampan. Mereka sebenarnya adalah penganggur tidak ketara dan dibelenggu oleh putaran ganas kemiskinan. Kebanyakan mereka yang bersawah, purata keluasan adalah satu hektar.

Bagi pekebun kecil sawit juga demikian. Sebahagian dari hari-hari dihabiskan dengan menunggu, menunggu padi besar dan sawit masak. Bekerja sehari, berehat tiga hari. Banyak masa yang terluang terbuang kerana ketiadaan peluang pekerjaan lain.

Penduduk Pasir Salak berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang telah membina Lebuhraya Persisiran Pantai Barat yang merentasi kawasan Pasir Salak. Kewujudan lebuh raya ini mendekatkan lagi kawasan kami dengan Lumut yang terkenal dengan satu-satunya pelabuhan di Perak. Kemudahan infrastruktur ini wajar diambil secara positif terutama untuk manfaat penduduk Pasir Salak.

Ketiga dan terakhir, Tuan Yang di-Pertua, walaupun Pasir Salak memiliki lebih 100,000 jiwa, tetapi tidak memiliki hospitalnya sendiri. Memang ada klinik luar bandar di pekan-pekan kecil, tetapi tidak dapat memenuhi keperluan. Hospital yang setaraf dengan Hospital Teluk Intan sedang dibina di Seri Iskandar yang juga bukan di kawasan Pasir Salak. Pasir Salak faham untuk membina sebuah hospital bukan suatu yang mudah.

Selama ini, penduduk Pasir Salak dapat perkhidmatan kesihatan dari Hospital Teluk Intan. Hospital Teluk Intan juga menerima pesakit dari Bagan Datuk, Tanjong Malim, Kampung Gajah, malah Sabak Bernam. Hospital Teluk Intan memiliki 500 buah katil, tetapi masih tidak dapat menampung keperluan pesakit dan pasti nisbah doktor dengan penduduk.

Dengan itu, Pasir Salak mencadangkan agar sebuah hospital dibina dalam Parlimen Pasir Salak yang serba lengkap. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Pasir Salak, Ustaz Jamaluddin Yahya semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.

- Advertisement -