Liberalisme tidak boleh dibiarkan sama sekali

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

SAYA ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat Jasin yang telah memberi mandat kepada saya untuk mewakili kawasan Jasin di dalam Dewan Rakyat yang mulia ini.

- Advertisement -

Tuan Yang di-Pertua, Jasin merupakan daerah yang penuh keberkatan dan kesejahteraan. Rakyatnya dengan berlatar belakang kehidupan yang sederhana adalah sangat kuat beragama. Aktiviti ibadah yang menuntut ilmu agama merupakan amalan yang disanjung tinggi oleh rakyat Jasin. Sebagai contoh, Daerah Serkam, terkenal sejak turun temurun sebagai ‘Serambi Mekah’.

Terdapat tidak kurang dari 14 buah pondok-pondok pengajian agama yang dipimpin oleh para ulama Melaka yang berwibawa. Antara tuan guru Daerah Jasin yang terkenal dan mempunyai ribuan murid di seluruh negara iaitu Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jaafar, ulama besar Melaka pada hari ini.

Di samping itu, Jasin mempunyai lokasi-lokasi yang sangat menarik seperti kolam air panas di Daerah Bemban dan juga Melaka Halal Hub yang berada di Serkam Darat. Begitu juga sebagai daerah yang mempunyai persisiran pantai yang indah. Terdapat Pantai Siring yang menjadi tumpuan rakyat. Begitu juga beberapa pangkalan nelayan yang menarik.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan dengan ciri-ciri khusus Parlimen Jasin ini agar kerajaan menjadikannya sebagai pusat pelancongan Islam- Islamic tourism center dan tumpuan pelancong Islam dari seluruh dunia. Namun, untuk mencapai matlamat membangunkan Jasin sebagai pusat pelancongan Islam, kita memohon kepada kementerian-kementerian yang berkaitan agar serius dalam menaik taraf beberapa buah infrastruktur asas di Daerah Jasin sesuai dengan kapasiti rakyat pada hari ini.

Pertama, keutamaan perlulah diberikan kepada pembinaan Balai Polis Sungai Rambai yang telah tertangguh sedangkan ia telah diluluskan semenjak tahun 2008 dengan bajet sebanyak RM12 juta.

Kemudian pada tahun 2015, peruntukan baharu telah diberikan dengan bajet RM20 juta tetapi masih lagi tertangguh. Seterusnya yang terakhir, pada tahun 2017, mendapat semula peruntukan sebanyak RM24 juta namun status pembinaan kekal tertangguh sehingga hari ini.

Kedua, Klinik Kesihatan Sungai Rambai yang terlalu sesak dan tidak dapat lagi menampung kapasiti penduduk daerah Sungai Rambai yang jauh telah bertambah bilangannya. Walaupun telah diluluskan pembinaannya semenjak tahun 2004 namun pembinaannya sampai ke hari ini terus tertangguh sehingga kawasan tapak pembinaan yang bersebelahan Sekolah Menengah Sungai Rambai bertukar menjadi belukar yang membahayakan.

Ketiga, pelan pembangunan Pekan Sungai Rambai dengan anggaran peruntukan RM200 juta yang telah diluluskan dan penukaran status Sungai Rambai pada Daerah Kecil Sungai Rambai yang juga telah diluluskan di dalam Kabinet pada tahun 2018 sehingga hari ini masih tertangguh, dengan izin, in the thin air.

Keempat, Jeti Kuala Sebatu dan infrastruktur-infrastruktur asas yang memudahkan para nelayan hendaklah dibangunkan semula. Kebajikan nelayan yang berhadapan harga jaring yang mahal dalam keadaan hasil tangkapan yang sedikit, menjadi kewajipan kerajaan berusaha meringankan beban ekonomi para nelayan dengan memastikan tiada golongan tengah mengambil kesempatan menjual keperluan tangkapan ikan dengan harga yang tinggi seperti yang berlaku pada hari ini. Saya mencadangkan agar persatuan nelayan diberikan kemudahan AP untuk mereka mendapat jaring dari negara jiran secara langsung untuk dijual kepada para nelayan dengan harga berpatutan.

Dengan kerajaan mengambil tindakan pantas menangani semua projek tertangguh ini, saya sangat berharap daerah Jasin akan dapat menjadi aset pelancongan Islam di Melaka secara khusus dan di Malaysia amnya. Sekali gus, memajukan ekonomi rakyat Jasin.

Islam membawa penyelesaian kepada permasalahan yang manusia hadapi. Dalam perjuangan manusia membebaskan dirinya daripada sistem yang menindas pada zaman jahiliah. Islam sahajalah yang berjaya melepaskan mereka di seluruh pelosok dunia. Aspek penting ajaran Islam ini mula dilaksanakan secara eksplisit selepas terbentuknya Kerajaan Islam di Madinah. Dengan izin, Madinah is the embodiment of justice. It is mean for justice to prevail an all kinds of oppression to end.

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim itu harta mereka dan janganlah kamu tukar gantikan yang baik dengan yang buruk dan janganlah kamu makan harta mereka dengan menghimpunkannya dengan harta kamu kerana sesungguhnya itu merupakan dosa yang besar.”

Al-Quran mengajarkan agar manusia seluruhnya meninggalkan perbuatan menindas. Inilah antara teras politik dan tujuan kuasa dibenarkan di dalam Islam. Tanpa Islam keadilan hanyalah menjadi mainan mulut. Tanpa Islam golongan yang mencintai kezaliman bermaharajalela. Islam bukan seperti agama yang lain, seperti yang sengaja disalahfahamkan.

Islam tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan politik untuk membawa keadilan kepada manusia dan umat Islam tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab politik memerangi penindasan tersebut. Dengan izin, any diversion in the understanding of Islam means nothing but the extension of discrimination and misery which are true Muslim shall not tolerate.

Ajaran Islam yang penting ini sengaja difitnah sebagai ajaran pelampau dan pelbagai usaha untuk menggambarkan Islam, Nabi Muhammad SAW, para ulama dan umat Islam sebagai penindas atau penunggang agama agar manusia menjauhi Islam dan kezaliman sebenar yang berpunca daripada fahaman ideologi barat dan amalan politik yang menipu rakyat serta rompakan harta negara dan salah guna kuasa, tiada lagi yang menegur bahkan maharajalela.

Mengiktiraf kewujudan perbezaan dan kepelbagaian hendaklah bertolak daripada nilai-nilai akhlak yang tinggi. Kepelbagaian bukanlah tiket untuk mengiktiraf ajaran dan pemikiran yang meruntuhkan agama dan nilai-nilai moral. Sebagai contoh, sekularisme, liberalisme, komunisme dan transgenderisme menurut Islam tidak diiktiraf kewujudannya. Lantaran ia menghancurkan nilai-nilai keimanan dan pengagungan terhadap Allah serta membelakangkan nilai-nilai moral yang selama ini mengikat manusia dalam suatu kehidupan yang harmonis dan beradab.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, malu itu sebahagian daripada iman. Justeru itu, sebarang fahaman yang menghakis rasa malu anak bangsa di negara ini akan turut membinasakan keimanan mereka termasuk cara berpakaian yang menjolok mata. Hakikat penting yang menjadi asas perpaduan teguh dalam negara inilah yang menjadi prinsip kepada Rukun Negara.

Kepercayaan kepada Tuhan dan kesopanan dan kesusilaan. Mereka yang menyeru kepada liberalisme atau sosialisme atau komunisme atau transgenderisme atau mana-mana ideologi sekular di dalam negara ini itulah sebenarnya golongan pelampau yang dengan sengaja ingin menghancurkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Jangan ada pula yang cuba mengelirukan di antara ideologi liberalisme yang menentang ajaran agama dengan sikap liberal yang bermaksud keterbukaan untuk menerima perbezaan. Keterbukaan dalam kerangka syariat sudah tentulah tidak bercanggah dengan Islam bahkan ia menjadi sebahagian daripada sifat khusus Islam itu sendiri iaitu al-murunah dan al-waqi’iyyah atau anjal dan realistik. Adapun sebarang langkah untuk mendorong negara ini mengiktiraf fahaman dan ideologi liberalisme sama sekali tidak boleh dibiarkan.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin]: Tuan Yang di-Pertua, selaku Ahli Parlimen Jasin, saya ingin mengucapkan takziah kepada anggota tentera darat mendiang Lans Koperal Edrin Baintim yang meninggal dunia semasa latihan ketenteraan di perairan Merlimau, Jasin.

Sebagai penutup, saya berharap agar kerajaan memberikan penghormatan yang layak kepada seluruh anggota tentera sebagai rakyat kelas pertama di dalam negara ini. Segala kemudahan terbaik hendaklah diberikan kepada mereka daripada aspek persenjataan semasa bertugas dan segala kemudahan terbaik kepada keluarga mereka. Seterusnya, dengan kedudukan mereka sebagai perwira-perwira negara, kebajikan mereka dan keluarga mereka hendaklah dipastikan dengan memberi keutamaan serta peluang kerja yang sesuai untuk mereka terus berbakti kepada negara selepas bersara.

Dengan penghormatan besar kepada tentera, sudah pasti akan mewujudkan pasukan tentera Malaysia yang kuat dan digeruni sehingga kedaulatan negara dan keselamatan rakyat sentiasa terjamin dan berkekalan. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.

- Advertisement -