Kemahiran berfikir aras tinggi perlu dikaji semula

Datuk Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

SAYA memulakan ucapan dalam tempoh masa yang terbatas ini dengan mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua, sahabat saya dari dahulu lagi yang dipilih untuk menjadi Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua dan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang terpilih di kawasan masing-masing.

- Advertisement -

Khusus saya rakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengundi di kawasan saya P.020 Pengkalan Chepa kerana telah memilih Parti Islam Se-Malaysia dalam gabungan Perikatan Nasional. Alhamdulillah, berkat kepercayaan yang tidak berbelah bahagi semenjak dahulu, kini dan insya-Allah selama-lamanya, PAS telah mencatatkan undi majoriti sebanyak 38,270 undi di Parlimen Pengkalan Chepa walaupun Yang Berhormat Kota Raja turun mendendangkan lagu “hoi hoi ya hoi”.

Satu isu yang saya hendak sebutkan dan kalau sempat yang kedua berkaitan dengan pendidikan yang kondusif dan inklusif. Yang Berhormat Menteri sudah tidak ada dah. Pendidikan merupakan teras utama dalam pembentukan masyarakat yang bertamadun. Pendidikan yang terbaik bukan sekadar dinilai daripada gred semata-mata, ia juga perlu merangkumi persekitaran sekolah yang kondusif dan akses fasiliti yang lengkap, malah sekolah yang juga mampu meningkat kadar literasi 3M iaitu menulis, membaca dan mengira.

Sekolah merupakan sebuah institusi yang melahirkan murid yang bersahsiah tinggi dan berkemahiran insaniah. Sekolah bukanlah tempat perlawanan taraf intelektual seseorang murid, namun ia perlu dinilai dengan kemenjadian seseorang murid berbakti kepada nusa dan juga bangsa.

Namun begitu bagaimanapun, murid-murid yang jauh dari ceruk bandar ingin menikmati taraf prasarana sekolah yang sama. Jika sekolah mereka terlalu usang dan bertahun-tahun tidak diselenggarakan atau mempunyai prasarana yang terhad, kementerian harus melihat semula prasarana yang disediakan di sekolah-sekolah luar bandar supaya murid dapat akses kepada pendidikan yang sama seperti sekolah yang berada di bandar. Akses yang interaktif serta akses internet dan juga bahan bacaan yang menarik dan peralatan bantu belajar yang lengkap.

Selain itu, kerajaan juga harus menilai dan memperhalus semua silibus yang diajar di sekolah. Lihatlah buku teks Bahasa Melayu Tahun 1 yang terbahagi kepada dua tahap. Kedua-dua tahap itu dilihat sangat tidak sesuai dengan tahap pemikiran anak-anak kita. Seusia tujuh tahun mereka dibebankan dengan silibus yang memerlukan kemahiran membaca, bukan kemahiran memahami suku kata atau memahami penggunaan perkataan. Namun, mereka perlu cepat dan celik 3M pada usia tujuh tahun.

Selain itu, kemahiran berfikir aras tinggi juga telah diterapkan dalam silibus sekolah yang dilihat akan membebankan murid untuk berfikir. Kemahiran berfikir yang tinggi akan menjatuhkan motivasi murid untuk belajar dan perlu dikaji semula oleh pihak kementerian. Kadar kemenjadian murid untuk mencapai tahap-tahap silibus tertentu juga secara tidak langsung akan memberikan kesan kepada guru dan ibu bapa.

Guru-guru perlu bekerja keras untuk memastikan murid-murid dapat memahami standard silibus yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan. Guru-guru sudah pun terikat dengan hal ehwal murid dan kelas, kini tugas mereka semakin dibebani dengan kerja perkeranian. Bayangkan jika seorang guru dipertanggungjawabkan dengan tiga hingga empat buah kelas untuk mengajar satu silibus, ditambah dengan tanggungjawab sebagai seorang guru kelas dan guru persatuan kelab, ini sangat memenatkan. Kerjaya dan profesion guru sepatutnya menjadi lebih menyeronokkan jika guru memberi fokus yang jitu terhadap subjek yang diajar.

Tuan Roslan bin Hashim [Kulim-Bandar Baharu]: Terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Chepa kerana beri laluan. Saya juga ingin meminta pandangan daripada Yang Berhormat Pengkalan Chepa di mana Yang Berhormat Pengkalan Chepa mencadangkan tadi untuk kemenjadian pelajar di sekolah-sekolah.

Saya juga mencadangkan supaya kemenjadian para pelajar di dalam kelas, saya mencadangkan supaya bilangan pelajar di dalam kelas juga dikurangkan di mana sekarang ini kita nampak pelajar-pelajar hingga 45 orang. Ini agak sukar untuk kita memberi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Secantiknya ialah seramai 20 orang hingga 30 orang sahaja. Adakah Yang Berhormat Pengkalan Chepa bersetuju untuk kemenjadian pelajar?

Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa]: Setuju dan masukkan dalam ucapan saya.

Kementerian harus sedar bahawa guru-guru bukan sahaja bertanggungjawab terhadap akademik murid, namun mereka mempunyai tanggungjawab sebagai ibu bapa di sekolah. Jadi, saya rangkumkan tiga perkara. Penting yang perlu disemak dan dikaji semula bagi meningkatkan mutu pendidikan negara:

(i) memberikan peruntukan untuk menaik taraf prasarana sekolah luar bandar;

(ii) mengkaji silibus subjek yang diajar kepada murid-murid sekolah selaras dengan taraf kognitif mengikut umur; dan

(iii) mengkaji dan menilai semula beban tugas guru.

Kementerian Pendidikan perlu membuat kaji selidik terhadap tugas dan bebanan guru sehingga menyebabkan stress yang melampau atau menyebabkan guru mengambil keputusan untuk berpencen lebih awal. Ketidakcekapan sistem sedia ada sering dikaitkan dengan kecelaruan pembahagian tugas yang tidak selaras dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri perlu diambil serius. Ini dikuatkan dengan dapatan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa seramai lebih 10,000 orang guru membuat pilihan bersara awal gara-gara tugas yang berlebihan.

Untuk pendidikan Islam di peringkat rendah, saya mencadangkan pembelajaran berasaskan tema (thematic teaching). Ia bermaksud gabung jalin beberapa disiplin ilmu dalam Pengajian Islam di bawah satu tajuk atau tema pembelajaran yang membolehkan murid mendapat ilmu yang merentas bidang, memupuk sikap dan penghayatan dan mempraktikkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kesinambungan daripada cadangan di atas, saya mencadangkan supaya pendidikan KAFA dibawa masuk dalam sistem pendidikan arus perdana selepas 34 tahun dilaksanakan sebagai sebuah program tambahan Pendidikan Islam. Maka sudah sampai masanya kerajaan menggabungjalinkan kurikulum Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan dan kurikulum KAFA serta masa belajar bagi kedua-dua kurikulum ini agar para pelajar dapat menikmati pendidikan yang lebih berkesan daripada guru yang terlatih dan bermotivasi tinggi.

Terakhir yang saya hendak gulung Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan isu Tabung Haji. Pertama adalah agihan keuntungan. Institusi Tabung Haji telah merekodkan kadar pertumbuhan, pulangan yang baik pada 2019 di mana agihan dividen daripada keuntungan kepada pendeposit menunjukkan kenaikan 3.05 peratus kepada 3.1 peratus sehingga tahun 2021. Saya menjangkakan dan mengharapkan kerajaan pada masa sekarang akan mengisytiharkan dividen yang lebih kompetitif, yang mungkin lebih daripada apa yang telah pun dinikmati sebelum daripada ini.

Kedua ialah isu milikan hartanah di negeri Sarawak. Terdapat agensi kerajaan, agensi atau syarikat milik kerajaan negeri telah menyatakan hasrat untuk membeli semula beberapa aset hartanah milik TH Plantations yang terletak di kawasan tanah hak adat peribumi di negeri Sarawak. Bagaimana pihak Tabung Haji menyediakan jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu tersebut bagi menjamin kepentingan kedua-dua pihak dilindungi iaitu pemegang saham THP iaitu TH dan juga rakyat negeri Sarawak.

Terbitan sukuk RM1.08 bilion. TH telah melanggan sukuk terbitan TH Plantations berjumlah RM1.08 bilion pada tahun 2022. Adakah pihak Tabung Haji sedia membuat penilaian prestasi berkala terhadap prestasi THP yang merupakan anak syarikat Tabung Haji bagi menjamin langganan sukuk tersebut adalah berdasarkan kepada perancangan kewangan dan operasi yang telah dibentangkan sebelum daripada ini.

Kita percaya sukuk yang diterbitkan tersebut adalah bagi membantu THP merealisasikan rancangan pemulihan beberapa projek perladangan sepanjang tahun 2019 sehingga sekarang terutamanya bagi memulihkan beberapa ladang yang terbiar dan tidak diselenggarakan sebelum tahun 2019. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.

- Advertisement -