Guna bahasa Melayu di persidangan antarabangsa

Mohd Misbahul Munir Masduki
- Advertisement -

DARI Bagan Datuk ke Parit Buntar,
Lawan BN dan PH tidak kenal lelah dan penat;
PRU Ke-15, BN dan PH Parit Buntar dah pun jatuh terlantar,
Kini tiba masa MP baharu berbakti dan berkhidmat.

- Advertisement -

Terima kasih rakyat Malaysia yang memilih Perikatan Nasional sebagai pilihan terbaik, khususnya pengundi Parit Buntar yang memilih saya sebagai Ahli Parlimen. Insya-Allah saya akan cuba berkhidmat sebaik-baiknya tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa. Tidak perlu sebut.

Banyak perkara saya ingin sentuh tetapi oleh sebab kekangan masa, antaranya berkaitan dengan Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani, isu rasuah dan sebagainya. Oleh sebab kawan-kawan sudah ramai menyentuh, saya anggap semua apa yang disampaikan oleh kawan-kawan daripada Perikatan Nasional adalah sebahagian daripada ucapan saya, termasuk ucapan daripada Yang Berhormat Pasir Gudang, saya sokong 100 peratus juga sebagai sebahagian daripada ucapan saya.

Saya hendak bercakap, pertama isu bahasa. Memartabatkan bahasa bukan hanya melalui seminar-seminar dan konvensyen semata-mata. Tokoh-tokoh bahasa sudah jenuh menganjurkan pelbagai program untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu, bahasa Malaysia di semua jabatan kerajaan, agenda kerajaan, GLC, institut kewangan dan lain-lain. Malahan disarankan pemimpin negara menggunakan bahasa Malaysia dalam menyampaikan ucapan-ucapan di persidangan antarabangsa, sama ada yang dianjurkan dalam negara ataupun luar negara.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada bekas mantan Perdana Menteri Kesembilan dan juga bekas mantan Menteri Air dan Alam Sekitar yang menggunakan bahasa Malaysia dalam ucapan di persidangan antarabangsa dan disambut baik oleh pejuang dan tokoh-tokoh bahasa.

Hari ini saya cuma nak tanya mengapa perlu dalam menyebarkan apa sahaja dokumen-dokumen di Parlimen ada dwibahasa? Pertama, ada bahasa Malaysia, bahasa Melayu dan kedua ada bahasa Inggeris. Saya fikir tidak perlu ada dua bahasa. Cukup dengan bahasa Malaysia kerana kita semua Ahli Parlimen, rakyat Malaysia dan boleh berbahasa Malaysia. Rugi kertas sahaja. Ini duit rakyat. Kita cetak sampai dua kali. Satu bahasa Malaysia, satu bahasa Inggeris. Apakah perlunya bahasa Inggeris? Kita semua faham. Bukan tidak ada yang tidak faham. Semua orang Melayu, semua faham.

Kedua, berkaitan dengan pendidikan negara. Dalam memahami Falsafah Pendidikan Negara dan juga Falsafah Pendidikan Islam. Saya simpulkan bahawa antara matlamat utama dalam pendidikan terutamanya pendidikan Islam adalah untuk melahirkan Muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia, berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah supaya menjadi hamba dan khalifah Allah yang bertakwa serta menyumbang ke arah mempertingkatkan tamadun bangsa dan negara serta berjaya di dunia dan di akhirat. Itu antara matlamat pendidikan Islam. Sama juga dengan Falsafah Pendidikan Negara, ingin menjadi insan yang soleh, yang seimbang antara rohani, jasmani dan sebagainya.

Falsafahnya sangat murni, matlamatnya sangat baik tetapi pelaksanaannya diganggu oleh beberapa elemen yang merosakkan oleh pihak-pihak yang lain terutamanya kementerian-kementerian yang lain seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Komunikasi dan Digital, dan sebagainya. Ustaz-ustaz dan cikgu-cikgu di sekolah jenuh mengajar untuk supaya anak-anak ini menjadi insan yang soleh, yang taat kepada perintah agama, yang taat kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah tetapi apabila dianjurkan program- program yang baik sebenarnya tetapi adanya sesuatu perkara yang boleh menyebabkan mereka terjerumus ke lembah maksiat kadang-kadang dianjurkan.

Justeru, kerajaan hendaklah turut menghapuskan, mencegah dan memberi larangan yang keras terhadap elemen-elemen yang boleh merosakkan anak-anak kita semua. Contoh, hiburan-hiburan dalam bentuk konsert, kita boleh benarkan dengan memberi garis panduan supaya tidak melanggar tatasusila akhlak yang baik, pergaulan bebas yang mengundang aktiviti tidak bermoral, pakaian yang menutup aurat yang sempurna bagi orang Islam dan pakaian yang sopan bagi bukan Islam, dihadkan waktu jangan sampai tengah malam dan sebagainya. Itu tujuan untuk mengawal pergaulan bebas yang boleh menyebabkan anak-anak ini terjerumus ke lembah maksiat yang boleh merosakkan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya ada data dan fakta. Akan tetapi oleh sebab masa tidak mengizinkan, berkaitan dengan gejala penagih dadah, anak tidak sah taraf, jenayah juvana, amalan rasuah yang melibatkan semua pihak, termasuk pemimpin, kelakuan akhlak tidak bermoral, hubungan kekeluargaan yang melibatkan penceraian dan sebagainya. Oleh sebab tidak ada masa, saya tidak perlu menyebutkan data-data tersebut.

Saya ingin membangkitkan beberapa isu tempat di kawasan saya Parit Buntar. Parit Buntar merupakan Kawasan Parlimen di Daerah Kerian. Pintu keluar masuknya dua buah negeri, Pulau Pinang juga Kedah. Namun, pembangunan dalam aspek pendidikan agak tidak seimbang berbanding Kawasan Parlimen lain di Perak, Kedah dan juga Pulau Pinang.

Penduduk di Kerian termasuk Parit Buntar menjelang tahun 2035 mencecah hampir suku juta dan sekarang sudah mencecah 200,000 orang penduduk lebih kurang. Sebahagiannya merupakan penduduk di Parlimen Parit Buntar yang mencecah 100,000 orang penduduk lebih. Jumlah sekolah menengah di Daerah Kerian 21 buah sekolah dan sekolah rendah sebanyak 69 buah sekolah. Parit Buntar sahaja ada 10 buah sekolah dan 24 buah sekolah menengah.

Namun, di Parit Buntar tidak ada sekolah berasrama penuh. Di Parit Buntar tidak ada IPT, di Parit Buntar tidak ada kolej vokasional dan kolej komuniti. Kalau adapun Pusat GiatMARA. Di Parit Buntar tidak ada kompleks sukan ataupun mini kompleks untuk anak- anak muda. Kalau mereka mahu bersukan, main futsal dan sebagainya, terpaksa pergi Nibong Tebal ataupun Bagan Serai, jauh. Jadi, apalah salah kiranya kerajaan hari ini memberi peluang kepada Parit Buntar untuk membangun dalam aspek pendidikan supaya seimbang dengan tempat lain.

Bagan Datuk, daerah baharu kawasan saya- bukan kawasan saya tetapi asal kampung saya walaupun penduduk tidak sampai 100,000 orang penduduk ada dua buah Sekolah Menengah Sains- Bagan Datuk. Terima kasihlah kepada Yang Berhormat Parlimen Bagan Datuk yang tidak hadir petang ini. Ada politeknik, ada kompleks sukan, ada jambatan yang sedang dibina menghubungkan Bagan Datuk dengan Lekir dan ada masjid terapung. Baru-baru ini ada rumah terapung akibat banjir termenung selama dua ke-tiga minggu.

Kalau Bagan Datuk, daerah baharu yang kecil pun mempunyai kemudahan yang sebegitu, mengapa Parit Buntar dianaktirikan?

Hospital baharu Parit Buntar sehingga sekarang tidak siap lagi. Saya harap segera disiapkan. Hospital sedia ada tidak mencukupi berbanding jumlah pesakit yang ramai. Mohon disiapkan segera. Cuma bila sudah siap, kalau Menteri Kesihatan masih orang yang sama, kalau tidak berlaku pertukaran kerajaan, jangan lupa jemput saya sebagai Ahli Parlimen, sebagai tetamu. Jangan macam yang berlaku di Kedah.

Saya minta kerajaan bela nasib pesawah padi di Kerian yang mengalami kerugian akibat hujan, tanah jerlus dan sebagainya sehingga mereka menanggung kerugian. Harap Yang Berhormat Menteri berkaitan tolong bantu pesawah-pesawah di daerah Kerian terutamanya Parit Buntar. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.

- Advertisement -