Dakwa mereka yang semai kebencian dan perpecahan

Cuba melagakan masyarakat dengan mempolitikkan perarakan mengingati warisan Islam

- Advertisement -

MEREKA yang cuba melaga-lagakan masyarakat dengan mempolitikkan perarakan memperingati warisan Islam di Terengganu baru-baru ini perlu didakwa.

Mana-mana pihak yang mendakwa kononnya perarakan itu bertujuan untuk menggalakkan keganasan dan seolah-olah ditujukan kepada masyarakat bukan Islam telah melakukan satu tindakan yang sangat merbahaya kerana boleh menyemarakkan perpecahan di kalangan masyarakat.

Tindakan mereka juga boleh menyemai perasaan kebencian terhadap agama Islam dan perlu didakwa agar mereka tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Perarakan tersebut adalah sekadar untuk memperingati warisan Islam dan amalan untuk memperingati warisan mana-mana budaya, bangsa atau agama adalah bukan satu perkara yang asing.

Ketika menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga ADUN dari tahun 2008 hingga 2018, saya kerap menyaksikan pertunjukan warisan pelbagai kaum atau budaya yang turut menggunakan senjata sama ada senjata yang betul atau replika.

Walau bagaimanapun saya tidak terasa terancam malah merasakan ia satu peluang untuk memahami warisan kaum-kaum dan budaya-budaya lain.

Terdapat pertunjukan-pertunjukan yang diadakan di tempat terbuka seperti perarakan warisan Islam itu tetapi ia tidak menimbulkan kegusaran di kalangan penduduk tempatan dari kaum-kaum yang lain.

Di dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti Malaysia kita sepatutnya bersifat terbuka dan memahami di antara satu sama lain.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
22 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -