DI kesempatan ini juga ingin saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengundi yang telah menterjemahkan sokongan terhadap Perikatan Nasional melalui kertas undi pada PRU ke-15 yang lalu, khususnya kepada pengundi saya di P.035 Kuala Nerus yang telah mencapai undian hampir dua pertiga, 65 peratus.
Saya memberi keyakinan bahawa Perikatan Nasional mampu menjadi ejen semak dan imbang yang berkesan kepada kerajaan hari ini bagi memastikan kita dapat membina Malaysia yang lebih berintegriti, stabil dan inklusif, insya-Allah.
Suka saya merujuk kepada Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada para 31. Saya petik, dengan izin, “Sejajar konsep Malaysia berdaya huni melalui penetapan dan hala tuju baharu melaksanakan Program Perumahan Rakyat (PPR). Keprihatinan kerajaan mendepani keluh kesah rakyat, khususnya golongan B40 dan aspek pemilikan rumah perlu diterjemahkan dalam bentuk perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang lebih holistik dan terancang.”
Pakatan Harapan dalam Manifesto Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu telah mengetengahkan pembinaan satu juta pembinaan rumah mampu milik dalam tempoh dua penggal pemerintahan. Meskipun perancangan ini direncatkan oleh penularan pandemik Covid-19 dan peralihan kuasa pada tahun 2020, namun saya kira perancangan ke arah merealisasikan manifesto ini perlu diteruskan memandangkan kerajaan yang menerajui pemerintahan negara pada hari ini adalah daripada Pakatan Harapan. Namun begitu perlu kita ingat, terdapat faktor-faktor yang perlu diperhalusi sejajar situasi semasa dalam menjayakan pembinaan satu juta perumahan mampu milik yang dirancang itu.
Evolusi pasaran hartanah di Negara China, lebih-lebih lagi pasca pelonggaran Dasar Sifar Covid-19 dan isu geopolitik seperti tekanan perdagangan berterusan akibat perang Ukraine-Rusia dan ketegangan perdagangan Amerika-China memberi impak terhadap harga barang pembinaan yang mencatatkan kenaikan saban bulan. Bukan tahun sudah, tiap-tiap bulan. Kadang-kadang dua minggu naik harga barang. Pihak yang paling terkesan dengan situasi ini pastinya ialah kontraktor yang akhirnya akan menolak harga ini kepada pembeli-pembeli.
Dalam rekod yang lepas, ramai kontraktor yang terpaksa menyerahkan semula Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Terengganu yang dipanggil PPTS, yang diperoleh daripada kerajaan akibat tidak mampu menanggung beban kenaikan harga semasa barang pembinaan. Lebih teruk lagi, banyak syarikat pembinaan “gulung tikar” akibat situasi ini.
Lanjutan daripada kenaikan harga pembinaan rumah ini, rantaiannya pasti akan berakhir kepada kita pada para pembeli, khususnya B40. Oleh itu dalam situasi ini, apakah langkah-langkah yang saya hendak tahu dari pihak kerajaan, mencadangkan perancangan strategik kerajaan untuk membantu kontraktor atau pemaju mendepani kenaikan harga barang pembinaan? Pada masa yang sama, masih konsisten menawarkan harga rumah mampu milik berkualiti, khususnya pada golongan B40.
Saya ingin mengetengahkan isu pembinaan rumah di Terengganu. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, Terengganu ada dasar tentang pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat. Selain daripada RMM yang dibina dengan 100 peratus peruntukan negeri, kita juga ada projek penswastaan iaitu kita mempelawa pemaju swasta membina rumah di atas tanah kerajaan, yang mana diwajibkan 20 peratus mesti rumah jenis ‘A’ yang berkeluasan 800 kaki persegi dan harga ditetapkan dengan harga RM80,000 sahaja dan 30 peratus lagi jenis ‘B’ yang berkeluasan 900 kaki persegi dijual dengan harga siling RM185,000. Manakala yang jenis ‘C’ bergantung kepada permintaan setempat.
Sekarang, pemaju swasta kurang berminat kerana tanah-tanah kerajaan di negeri Terengganu khususnya, kebanyakannya kawasan tanah yang tidak rata, lembah atau berbukit-bukau. Ini menyebabkan pemaju terpaksa membelanjakan 40 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan untuk meratakan tanah sahaja.
Oleh itu, saya mencadangkan kepada KPKT khususnya, supaya membantu untuk kerja-kerja tanah ini daripada peruntukan Pusat untuk meringankan beban kerajaan negeri dan juga pihak pemaju semoga harga RM80,000 untuk ‘A’ dapat dikekalkan dan harga RM185,000 untuk jenis ‘B’ dapat dikekalkan juga. Oleh sebab masa singkat, saya pergi kepada tajuk yang terakhir.
Pertamanya saya hendak mengucapkan penghargaan Yang Berhormat Menteri Alam Sekitar, Sumber Asli dan Perubahan Iklim yang telah sudi datang ke Terengganu dalam lawatan kerja beliau 30 Januari yang lepas. Saya ada dua pantun untuk Yang Berhormat Menteri. Tidak apa, dia boleh dengar selepas ini.
Kompang bergema pusaka bangsa,
Dipalu oleh si anak muda;
Hadir tuan memeriahkan suasana,
Kami menyambut penuh sukacita.
Tenang berehat tepi kolam,
Makan nasi dengan ulam;
Datang tuan dengan bersalam,
Kami sambut dengan Ahlan-wasahlan.
Akan tetapi yang malangnya, ada yang datang ke negeri Terengganu tanpa salam. Sudahlah tidak bersalam, dituduh kita tidak menyambut. Kalau tidak bagi salam, macam mana kita hendak jawab salam? Alhamdulillah, saya ucap tahniah kepada Yang Berhormat Menteri yang berjiwa besar ini, yang tidak mengikut jejak langkah mereka yang datang tidak dengan kaedah yang sebenarnya.
Dalam lawatan tersebut, kita telah mengemukakan satu kepentingan rakyat di kawasan Kuala Nerus iaitu tentang Projek Tebatan Banjir Tepuh Baruh Air Leleh yang selama ini sejak tahun 2013 projek ini dicadangkan, yang mana ia melibatkan beberapa buah kawasan perumahan yang setiap kali bila musim banjir, musim hujan, akan ditenggelami air. Banyak harta benda rakyat yang rosak, kehilangan barang-barang, perabot dan sebagainya. Maka itulah, saya mengharapkan projek ini dapat disegerakan. Oleh sebab ia sebenarnya telah pun diluluskan dalam pada tarikh 4 Mac 2020. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri daripada PN telah mengumumkan off-budget tahun 2022 sebanyak RM15 bilion, termasuklah Projek Tebatan Banjir Tepoh Baruh Air Leleh ini. Sekarang, projek ini semuanya kerajaan negeri telah siap daripada segi.
Alhamdulillah, projek ini pun telah disiapkan alignmentnya oleh pihak kerajaan negeri, cuma tunggu Kerajaan Pusat sahaja untuk melaksanakan projek ini. Insya-Allah, semoga dengan siapnya projek ini akan hilanglah ketakutan, kegerunan penduduk-penduduk di sekitar Tepuh dan Bukit Tunggal yang saban tahun terpaksa menerima kedatangan air. Mereka terpaksa mengharung air dan merosak harta benda mereka. Saya kira itu sahajalah yang dapat mengikut masa yang telah diberikan untuk saya bahaskan di Dewan yang mulia ini. – HARAKAHDAILY 22/2/2023
Petikan ucapan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!