Turkiye dilanda dua lagi gempa bumi kuat hari ini

Visual impak dua gempa bumi baharu yang melanda Hatay, Turkiye pada jam 8 malam, waktu tempatan (jam 2 pagi waktu Malaysia pada hari ini, 21 Feb 2023). (FOTO: TRT World)
- Advertisement -

HATAY: Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud dan gempa kedua berukuran 5.8 magnitud pada Skala Ritcher telah melanda wilayah Hatay di selatan Turkiye pada hari ini (21 Feb), menyebabkan sekurang-kurangnya tiga terkorban dan 213 yang lain cedera.

- Advertisement -

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Süleyman Soylu, mengesahkan tentang tragedi terbaharu itu selepas sebuah hospital kerajaan besar di bandar İskenderun di utara wilayah Hatay mengisytiharkan ia sedang memindahkan pesakit, lapor The Guardian.

Datuk Bandar Hatay, Lütfü Savaş, segera membangkitkan kebimbangan bahawa gempa bumi terbaharu itu telah menyebabkan lebih banyak kemusnahan di seluruh wilayah itu, dan berpotensi kehilangan nyawa manusia di tempat yang sudah berhadapan dengan kemusnahan terburuk di Turkiye akibat dua gempa bumi pada 6 Feb lepas.

“Ada bangunan musnah, ada yang terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.

Gempa itu dirasai di negara jiran Syria, lapor AFP pula, yang mana Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria melaporkan bahawa lebih daripada 500 cedera di bahagian barat laut.

Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean (EMSC) dalam kenyataannya dalam pada itu berkata, gempa bumi  baharu itu yang lebih besar melanda pada kedalaman hanya 2 kilometer (1.2 batu) yang berpotensi memperluaskan kesannya di aras tanah. 

“Ia berpusat berhampiran bandar Antakya di selatan Turki dan dirasai di Syria, Mesir dan Lubnan,” ujar kenyataan itu.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) pula  berkata, pusat gempa bumi yang lebih besar adalah di bawah daerah Defne di Hatay, di wilayah yang ramai mengadu tentang tindak balas kerajaan yang kurang memberangsangkan terhadap dua gempa bumi pertama pada 6 Feb lalu.

AFAD dalam kenyataannya turut menyatakan selepas gegaran pertama 6.8 magnitud itu, ia disusuli tiga gegaran susulan masing-masing 5.8, 3.9 dan 4.5 magnitud berpusat di bandar Samandag, Hatay.

Sementara menurut instgram Muslim Care Malaysia Society, badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia yang berada di Turkiye pada ketika kejadian dua gempa bumi terbaharu itu mengesahkan bahawa berlaku gegaran yang agak kuat di Hatay pada jam 8 malam Isnin (20 Feb), waktu tempatan, yang bersamaan jam 2 pagi waktu Malaysia hari ini (21 Feb).

Reuters pula melaporkan bahawa AFAD mengesahkan bahawa seorang penduduk maut di Samandag.

Menurut laporan itu lagi, penduduk di situ berkata lebih banyak bangunan runtuh tetapi kebanyakan penduk bandar berkenaan telah melarikan diri selepas dua gempa bumi pada 6 Feb lepas, yang menyaksikan  timbunan serpihan dan perabot terbuang memenuhi jalan yang gelap dan terbiar di situ.

Gempa bumi terbaharu, lapor The Guardian lagi, adalah kurang kuat berbanding gempa bumi 7.8 dan 7.5 magnitud pada 6 Feb itu yang memusnahkan laluan masuk melalui selatan Turkiye dan utara Syria; namun ia juga memberi ‘ancaman’ akan lebih banyak kemusnahan di wilayah di mana ramai penduduk telah meninggalkan kediaman mereka yang musnah demi keselamatan dengan berpindah ke bandar dan kampung lain di luar zon gempa. – HARAKAHDAILY 21/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!