SEBELUM saya menjelaskan beberapa perkara, saya ingin memaklumkan bahawa Temerloh memiliki beberapa keistimewaan terutamanya Temerloh tidak asing untuk ikan patin. Jemput hadir ke Temerloh untuk merasai nikmat yang tidak ada tandingnya. Insya-Allah kerana dia memiliki sungai terpanjang iaitu Sungai Pahang. Patin tempoyak, sila jemput hadir.
Kedua, saya ingin memaklumkan bahawa Temerloh memiliki tokoh-tokoh sejarah seperti Dato’ Bahaman, Pak Sako, Abdul Rahman Talib dan juga ikon kebanggaan Malaya iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Tokoh-tokoh ini harus dikenali pada zaman ini dan juga akan datang.
Maka pertamanya, saya ingin mencadangkan dan mengusulkan supaya pihak Kementerian Pelancongan bukan saja memandang Temerloh sebagai satu peluang keemasan untuk dimanfaatkan, kenapakah? Kerana di sini juga bukan saja ada tokoh-tokoh, di sini juga ada Pekan Sari terpanjang yang dilawati oleh jiran-jiran terdekat termasuk dari Negeri Sembilan. Ia beroperasi pada hari minggu maka jemput hadir untuk menikmati Pekan Sari terpanjang di Malaysia.
Di sini juga ada pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Deerland Park Lanchang dan yang paling istimewa Temerloh merupakan titik tengah Semenanjung Malaysia. Mungkin sebelum ini kita tidak mengetahuinya. Insya-Allah dengan penglibatan pihak Kementerian Pelancongan, Temerloh mengharapkan perkara ini dibangunkan sebagai pusat pelancongan utama. Ia akan memberikan sumbangan untuk pendapatan kepada rakyat dan juga pendapatan kepada negara.
Bila melibatkan tentang tokoh-tokoh kebangkitan pahlawan zaman silam maka dengan ini saya mencadangkan supaya dibina sebuah muzium sejarah untuk tarikan pengunjung bertandang ke Temerloh, secara tidak langsung akan memelihara tokoh-tokoh ini daripada ditelan arus zaman dan dilupai oleh generasi akan datang.
Tuan Yang di-Pertua, oleh sebab kita mendengar tadi beberapa keistimewaan, dalam masa yang sama juga saya ingin menjelaskan apa yang berada di Temerloh ini sekiranya tidak dibangunkan mengikut infrastruktur yang sepatutnya maka ia akan ditelan zaman. Maka, saya mencadangkan dan saya memohon supaya peruntukan diberikan untuk memperbaharui dan menaik taraf jalan raya terutamanya.
Pada baru-baru ini ketika kita bersidang, satu kejadian yang sangat menyayat hati, seorang orang muda baru berkahwin seminggu, kemalangan di jalan Lubuk Kawah dan dia meninggal dunia di situ. Apa yang menarik perhatian saya bukan satu kali perkara ini berlaku. Sudah banyak kali berlaku kemalangan maut terutamanya di jalan-jalan persekutuan. Dengan ini kita mengharapkan supaya perkara ini diambil perhatian oleh kementerian yang terlibat.
Seterusnya, apa yang berlaku di Temerloh, isu air. Baru-baru ini saya mengutarakan masalah air yang sudah pun statusnya RM100 juta diluluskan pada PM Kesembilan. Maka bila saya mendengar jawapan daripada Menteri bahawa ia akan diserahkan kepada PAAB untuk melaksanakan pinjaman, maka Temerloh memohon supaya ia dijadikan geran untuk dibina loji air di Mempateh dengan segera. Ini kerana di janjikan pada tahun 2025 akan siap, maka tuntutan rakyat Temerloh khususnya di sebelah Lanchang sangat memerlukan.
Satu perkara yang ingin dikongsi, pada beberapa hari yang lepas saya melawati kampung Orang Asal di Sungai Leleh. Saya mendengar aduan mereka. Mereka sudah lama puluhan tahun berada di situ dan saya melihat tangki air pun ada, batang paip pun ada, apabila saya tanya apa yang berlaku, mereka mengatakan sampai hari ini, saat ini, ketika ini, mereka langsung tidak merasai air paip. Apa maknanya dengan tangki yang ada, batang paip yang dipasang sedangkan air langsung tidak ada. Mereka hanya berharap kepada air hujan dan juga air sungai yang jauh letaknya.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail [Ampang]: Apakah sebab air di Temerloh itu tidak ada? Adakah mungkin saluran pengaliran air itu ataupun penghantaran air ke Selangor menyebabkan air di Pahang tiada?
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh]: Mungkin juga. Itu boleh dijawab oleh Menteri yang terlibat. Cuma saya nak sebutkan sebab itu kami sangat memerlukan Loji Air Mempateh untuk menampung keperluan air di Temerloh. Tidak cukup untuk satu buah loji yang ada kerana setakat ini bila satu loji akan menyekat pembangunan kawasan perumahan yang baru. Tidak boleh diluluskan kerana tidak cukup bekalan air. Saya sebutkan tadi bila sebut tentang kawasan yang tidak ada air, dia jauh daripada loji air. Terima kasih.
Jadi, seterusnya saya juga ingin menjelaskan masalah yang dihadapi oleh penternak ikan patin Temerloh. Saya mengharapkan supaya bantuan diberikan kepada penternak- penternak ini kerana mereka menghadapi masalah bekalan benih ikan, itu satu. Kedua, mereka juga menghadapi masalah makanan ikan yang sangat mahal. Selain daripada mereka terpaksa berhadapan dengan masalah kemarau dan juga banjir menyebabkan sedikit sebanyak telah memberikan kerugian kepada mereka.
Satu perkara yang saya nak sebutkan, kehebatan ikan patin ini hingga satu tan untuk satu hari masakan di restoran. Maknanya tarikan-tarikan ini sekiranya diberikan peluang dimajukan dengan bersungguh-sungguh dengan penternakan air tawar ini sudah pasti Temerloh boleh memenuhi keperluan rakyat bukan saja domestik termasuk juga boleh dijadikan pendapatan negara yang utama.
Seterusnya saya ingin mengambil peluang ini juga berkaitan dengan tanah yang terbiar. Sewajarnya kerajaan membangunkan tanah yang terbiar ini untuk keperluan rakyat khususnya. Kita tahu bahawa rakyat kekurangan makanan daripada segi apa, kerana harganya sangat mahal. Maka bangunkanlah tanah terbiar untuk tanaman makanan dan sedikit sebanyak bukan sahaja boleh menambahkan peluang pekerjaan, dalam masa yang sama dapat menampung keperluan dalam negara.
Ingatlah bahawa kita merupakan negara yang dikurniakan kelebihan dan keistimewaan. Wawasan 2020 yang ingin kita menjadi sebuah negara maju sebenarnya gagal. Ini kerana kita memiliki kelebihan tanah yang subur, iklim yang sesuai maka sewajarnya kita mesti melaksanakan R&D berkaitan dengan tanaman ini supaya dapat menghasilkan produk makanan untuk keperluan rakyat. Jadilah, negara yang berdikari. Tidak perlu bergantung sumber makanan dari luar.
Seterusnya, saya ingin juga berkongsi tentang masalah penoreh getah. Kita tahu bahawa harga getah daripada dahulu sampai sekarang tidak stabil. Sewajarnya Yang Berhormat Menteri kena memikirkan. Mesti memikirkan betapa pentingnya mengubah atau mencari tanaman yang sesuai untuk digantikan supaya mereka yang memiliki ladang-ladang getah ini dapat tanaman yang boleh memberikan pendapatan kepada keluarga mereka. Saya harap perkara ini boleh diatasi. Kerana apa? Ini kerana kita kurang melaksanakan R&D. Jepun walaupun tanahnya sempit tetapi dari segi keperluan beras sendiri, mereka tanggung sendiri dengan teknologi pertaniannya yang ada.
Seterusnya, saya juga mengharapkan di Temerloh, warga Temerloh sangat mengharapkan supaya dibina sebuah IPT. Temerloh adalah pusat titik tengah Semenanjung dan kita tidak mahu hanya tertumpu di Kuantan. Temerloh sewajarnya memiliki IPT ataupun sekurang-kurangnya IPG. IPG sewajarnya ditingkatkan bukannya ditutup. Pada 2019, kita lihat IPG ditutup sebanyak 21 buah. Akhirnya, kesan yang kita lihat berlaku kekurangan tenaga pengajar yang khususnya guru. Maka, saya mengharapkan supaya setidak-tidaknya ditubuhkan IPG di Temerloh kerana pada kali ini kita lihat bahawa Temerloh sudah pun sedang usaha membina sebuah jambatan Temerloh.
Saya dengan ini mengharapkan supaya perkara-perkara yang saya sebut dalam masa yang singkat tadi diambil perhatian dan yang terakhir, saya mengharapkan supaya tidak ada lagi suara-suara yang menyebut berkaitan dengan ekstremis agama.
Ini kerana dalam Islam tidak ada ekstremis. Bila kita mengamalkan Islam dengan benar dan betul, tidak ada ekstremis. Ekstremis maknanya pelampau. Bila pelampau di sana akan menimbulkan berbagai-bagai masalah dan ia terbukti kita lihat yang berlaku di luar. Akan tetapi, kita lihat di negara kita khususnya di Kelantan yang sudah ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia selama 34 tahun. Jadi, saya mengingatkan pada semua MP khususnya tidak menimbulkan dan di luar sana rakyat semua tidak ada berlaku ekstremis dalam agama.
Insya-Allah, sekiranya kita mengamalkan Islam akan menimbulkan kesejahteraan. Ini kerana Islam itu maksudnya sejahtera. Islam maksudnya sejahtera. Kita amalkan Islam kita akan dapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Dengan itu saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua. Moga-moga dengan apa yang saya suarakan akan dapat memberikan suara hati rakyat Temerloh khususnya kepada Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 21/2/2023
Petikan ucapan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 20 Februari 2023.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!