
ALEPPO, Syria: Dua gempa bumi terbaharu berukuran 6.4 dan 5.8 magnitud pada Skala Ritcher yang melanda Turkiye dan turut menggegarkan Syria pada hari ini (21 Feb); diikuti dua gegaran susulan 3.9 dan 4.5 magnitud turut menjejaskan kira-kira 356,000 wanita hamil di kedua-dua negara tersebut.
Agensi Kesihatan Seksual dan Reproduktif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dalam kenyataannya berkata, antara mangsa terjejas susulan gempa bumi terbaharu itu termasuklah 356,000 wanita hamil yang memerlukan akses segera kepada perkhidmatan kesihatan, lapor The Guardian.
“Mereka termasuk 226,000 wanita di Turkiye dan 130,000 di Syria – kira-kira 38,800 daripadanya akan bersalin pada bulan depan (Mac).
“Ramai daripada mereka berteduh di kem atau terdedah kepada suhu sejuk dan bergelut untuk mendapatkan makanan atau air bersih,” ujar kenyataan itu.
Sementara, agensi berita negara Syria, SANA, melaporkan enam orang cedera di Aleppo akibat terkenal serpihan konkrit yang terjatuh susulan gempa bumi pertama yang berpusat di Hatay, Turkiye.
Pertubuhan pertahanan awam barat laut Syria, White Helmets melaporkan lebih 130 kecederaan, kebanyakannya tidak mengancam nyawa, termasuk patah tulang dan kes individu pengsan kerana ketakutan, manakala beberapa bangunan di kawasan yang sudah rosak akibat gempa itu runtuh.
Jumlah kematian hampiri 47,000
Di bandar Ekinci di Hatay, Ata Koşar – yang kehilangan abang, kakak ipar dan anak saudaranya apabila blok apartmen mewah berdekatan mereka runtuh semasa gempa bumi dua minggu lalu pada 6 Feb – memberitahu The Guardian: “Ia adalah hari pertama kami memutuskan untuk tinggal di rumah kami kerana ia hanya satu tingkat, dan saya menggunakan sistem pemanas untuk cuba kekal panas dalam keadaan cuaca sejuk yang melanda tanpa sebarang petunjuk akan berlaku gempa bumi baharu.
“Saya terbaring di atas lantai, dan ketika saya berbaring itulah satu gempa bumi baharu melanda. Kami mendengar bunyi seperti lebih banyak lagi bangunan runtuh, dan lebih banyak kerosakan pada rumah kami.”
Sementara seorang penduduk Antakya, Muna al-Omar, berkata dia berada di dalam khemah di sebuah taman yang disediakan buat mangsa gempa bumi pada 6 Feb lalu, ketika gempa bumi baharu berukuran 6.4 magnitud melanda pada jam 8 malam Isnin (20 Feb), bersamaan jam 2 pagi hari ini, Selasa (21 Feb) waktu Malaysia.
“Saya fikir bumi akan terbelah di bawah kaki saya,” katanya sambil menangis sambil memeluk anak lelakinya yang berusia tujuh tahun.
“Adakah akan ada lagi gegaran susulan selepas ini?” soalnya dalam nada ketakutan.
Sebahagian penduduk memilih untuk tinggal di Hatay selama dua minggu selepas gempa pertama melanda 6 Feb lalu, berkata bahawa mereka terpaksa kerana takut kehilangan rumah mereka sepenuhnya, di samping tidak mempunyai tempat lain untuk melarikan diri dari situ.
Menurut data terbaharu yang dikongsi Anadolu Agency, sehingga semalam, Isnin (20 Feb) – genap dua minggu sejak bencana gempa bumi pertama itu melanda, jumlah kematian di Türkiye dan Syiria kini mencecah angka 47,000 yang mana 41,156 daripadanya adalah di Turkiye.
Di Syria, yang sudah hancur akibat perang saudara lebih sedekad, kebanyakan kematian berlaku di barat laut, di mana PBB menyatakan 4,525 orang terbunuh. Kawasan itu dikawal oleh pemberontak yang berperang dengan pasukan yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad, menyukarkan usaha bantuan.
Sementara, Pegawai Syria berkata 1,414 orang lagi terbunuh di kawasan di bawah kawalan kerajaan Assad, di tengah-tengah kebimbangan bahawa angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi sebelum gempa bumi kedua melanda.
Ia menunjukkan jumlah keProgram Makanan Sedunia (WFP) telah menekan pihak berkuasa di wilayah itu untuk berhenti menyekat akses bagi menyalurkan bantuan daripada kawasan yang dikawal kerajaan Syria.
“Setakat pagi Isnin, 197 trak yang dimuatkan dengan bantuan kemanusiaan PBB telah memasuki barat laut Syria melalui dua lintasan sempadan,” kata jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB.
Beribu-ribu pelarian Syria di Turkiye telah pulang ke rumah mereka di barat laut Syria untuk berhubung dengan saudara-mara yang terjejas akibat kemusnahan gempa bumi 6 Feb lalu tanpa menyangka berlaku lagi gempa bumi baharu pada hari ini.
Di lintasan sempadan Turkiye di Cilvegozu, ratusan rakyat Syria beratur sejak awal pagi Isnin untuk menyeberang kembali ke negara mereka.
Mustafa Hannan, yang menghantar isterinya yang sarat mengandung dan anak lelaki berusia 3 tahun kembali ke Syria berkata, dia melihat kira-kira 350 orang menunggu dalam barisan
Juruelektrik kereta berusia 27 tahun itu berkata keluarganya akan berada di Syria selama beberapa bulan selepas rumah mereka di Antakya, Turkiye runtuh, berharap pihak berkuasa membenarkan mereka menghabiskan masa sehingga enam bulan di Syria tanpa kehilangan peluang untuk kembali ke Turkiye.
“Saya bimbang mereka (isteri dan anak) tidak dibenarkan kembali pulang ke Turkiye, Kami sudah berpisah dengan bangsa kita.
“Adakah saya akan berpisah dengan keluarga saya sekarang ini? Jika hanya saya yang membina semula kehidupan saya di sini (Turkiye) tetapi mereka tidak dapat kembali ke Turkiye, nyawa saya akan hilang,” katanya penuh emosi.- HARAKAHDAILY 21/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!