Tangani perubahan iklim bukan sekadar tanam pokok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menanam pokok dilihat sebagai kaedah paling mudah untuk menyerap karbon di atmosfera, dan ketika dunia bergelut mendepani perubahan iklim sekarang, penanaman pokok bagaikan penawar yang diyakini dapat memulihkan semula “kesihatan” bumi yang sedang “sakit” akibat pencemaran.

- Advertisement -

Pelbagai pihak, baik kerajaan, perniagaan ataupun orang persendirian, juga semakin berminat untuk turut terlibat dalam projek penanaman berbilion batang pokok bagi meningkatkan keluasan hutan dan mencapai sasaran iklim.

Di Malaysia, Kempen Menanam 100 juta Pokok 2020-2025 dilancarkan pada 2021 sebagai permulaan Program Penghijauan Malaysia.

Aktiviti ini turut dilaksanakan oleh syarikat dan entiti lain bagi menjana kredit karbon yang boleh didagangkan di Bursa Carbon Exchange (BCX), iaitu pasaran karbon sukarela (VCM), untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka.

(BCX dilancarkan pada 9 Dis tahun lepas dan dijangka mula berdagang pada Mac tahun ini, di mana kredit karbon boleh dibida oleh syarikat. Kredit karbon adalah permit atau sijil yang membenarkan pemiliknya melepaskan karbon atau gas rumah kaca (GHG) pada kadar tertentu). 

Teknologi baharu penanaman pokok

Sekalipun penanaman pokok adalah usaha yang bagus, menebang hutan yang telah tua dan menanam pokok baharu yang akan mengambil masa untuk matang, bukanlah satu pendekatan yang boleh menyelesaikan sepenuhnya pemanasan global dan perubahan iklim, terutamanya jika GHG terus dilepaskan.

Perkara ini diketengahkan oleh para saintis dan penyelidik yang menyarankan agar tumpuan sama rata diberikan kepada usaha menghentikan penebangan hutan dan pelepasan GHG.

Perladangan pokok yang berkesan bukan setakat menanam pokok, tetapi lebih daripada itu, bermula dari pemilihan spesies pokok yang tepat, pemantauan dan penjagaan anak pokok hinggalah kepada perladangan pokok berskala besar.

Aspek ini boleh dicapai dengan bantuan teknologi. Planters International Berhad misalnya, menerima guna sistem Active Forest Asset Management (AFAM) bagi memantau tumbesaran pokok di enam projek pemuliharaan hutan simpan di Semenanjung Malaysia.

Menurut Pengerusinya Prof M. Sadruddin, enam projek itu ialah Hutan Simpan Kekal (HSK) Relai, Hutan Simpan Sungai Rek dan HSK Ulu Temiang di Kelantan; Hutan Simpan Besul, Terengganu; HSK Chini di Pahang serta Hutan Simpan Bukit Cerakah di Selangor.

Beliau berkata AFAM adalah gabungan dua teknolgi terbaik dalam kawalan iklim, geotagging  atau pengetagan lokasi, dron, Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) dan imbasan topografi bagi mengenal pasti dan menguruskan semua hutan di tapak projek Planters Enrichment & Reforestation Programme  selain memantau dan mengukur simpanan karbon semula jadi pada pelbagai jenis pokok.

“Kami ada simpanan data kami sendiri dengan analitik terkini iaitu Planters yang mengandungi analisis bagi mengira ketersediaan tanah berhutan dan mewujudkan trend jangka panjang litupan hutan berdasarkan data sejarah.

“Kami memeriksa keadaan pokok menggunakan data RFID bagi mengenal pasti lokasi pokok, ketinggian dan dimensi serta biojisim pokok. Daripada jenis pokok dan biojisim yang dikira, karbon yang tersimpan di dalam pokok dihitung menggunakan model pokok tertentu, termasuk biojisim di atas dan bawah tanah.

“Kemudian, kami pastikan spesies pokok dan mengira simpanan karbon pada setiap pokok menggunakan formula pengiraan mengikut Inventori Hutan Nasional Kelima (IHN5) oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setiap pokok ditandakan lokasi dan direkodkan bagi tujuan pengurusan berdasarkan koordinat sistem penentududukan sejagat (GPS) dan keadaan topografi selain pemantauan menggunakan sistem dron berteknologi tinggi.

“Kami laksanakan aktiviti pengurusan hutan dan semua komponennya termasuk penanaman semula, pemuliharaan hutan, tapak semaian pokok hutan dan perladangan hutan.

“Kebanyakan projek kami adalah melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta CIMB Bank,” katanya, menambah aktiviti pembalakan tidak dibenarkan di kawasan yang diuruskan.

Cegah kehilangan biodiversiti hutan, jana kredit karbon

M. Sadruddin menjelaskan, selain memantau tumbesaran pokok, mereka juga menggunakan dron haba bagi mengenal pasti spesies haiwan untuk membantu pemerhatian di bumi.

“Haiwan yang dikesan ialah tapir, gajah dan musang yang membolehkan kita mengenal pasti keberadaan mereka di tapak projek kami,” katanya.

Tambah beliau, bagi syarikat yang ingin mengimbangi jejak karbon mereka dengan kredit karbon, data tersebut dapat membantu mereka menentukan lokasi terbaik serta memantau kemajuan penanaman pokok.

“Sesetengah syarikat dan entiti menggunakan perkhidmatan kami untuk menanam pokok bagi menjana kredit karbon seperti yang perlukan oleh BCX. Justeru, kami memberikan mereka data yang dikemas kini yang kami kumpulkan menerusi tapak projek,” katanya. 

Selamatkan spesies pokok utama daripada kepupusan

Dalam mendepani perubahan iklim, pokok adalah “senjata” utama kerana ia mempunyai keupayaan menyerap karbon di atmosfera dan menyimpannya selama bergenerasi.

Bagaimanapun kegiatan manusia seperti pembalakan, perladangan dan pembangunan menuntut penebangan hutan yang menyumbang kepada peningkatan kehilangan biodiversiti.

Justeru, ada keperluan untuk menyelamatkan spesies pokok utama daripada kepupusan dan memulihkan semula  hutan hujan tropika di seluruh negara, kata ketua penganalisis Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Hutan Hujan (TRCRC) Dr Lee Jo Kien.

Lee berkata hutan hujan di Malaysia didominasi oleh pokok daripada keluarga Dipterocarpaceae yang meliputi hingga 80 peratus litupan hutan, yang mana lebih separuh daripada spesies itu dianggap terancam di Semenanjung Malaysia.

“Kebanyakan pokok daripada keluarga dipterocarps mempunyai kitaran pembiakan yang perlahan iaitu biji benih hanya dihasilkan semasa musim berbuah besar-besaran yang berlaku setiap lima hingga tujuh tahun semasa tempoh El Nino.

“Disertakan pula kadar survival yang rendah dan jarak sebaran benih yang dekat (hingga 30 meter dari pokok induk), memang sukar untuk ia membiak,” kata pakar ekologi itu, menambah untuk mengumpul biji benih mencukupi mengambil masa yang lama.

“Ditambah lagi dengan cabaran pemuliharaan yang mana  benih dipterocarps tidak boleh disimpan di dalam bank benih kerana ia mengandungi air yang tinggi, menyebabkanya tidak boleh dibekukan. 

“Ia mesti dicambahkan dalam tempoh beberapa hari, jika tidak ia akan mati,” ujarnya.

Benih yang diambil dari hutan serpihan ditanam bersama-sama benih daripada induk berlainan bagi mengelakkan pembiakbakaan selain mewujudkan koleksi pokok hidup yang boleh membiak secara berterusan. 

“Koleksi hidup ini akan berperanan sebagai bank gen yang menyediakan anak benih beradaptasi dengan tapak pengumpulan, bagi tujuan pemuliharaan pada masa akan datang,” katanya, menambah sebanyak 30,000 biji benih dikumpulkan pada 2022.

Memandangkan fokus TRCRC yang ditubuhkan pada 2012 itu adalah untuk menangani kehilangan biodiversiti dan mengembalikan semula hutan hujan tropika di Malaysia, Lee berkata daripada sekadar menanam pokok, mereka mengembalikan semula fungsi, kepelbagaian dan daya tahan ke ekosistem sambil berusaha menyediakan penjanaan pendapatan yang lestari buat Orang Asli dan penduduk setempat (IPLCs). 

Di samping pemuliharaan spesies pokok, TRCRC juga melibatkan IPLCs dalam pengumpulan biji benih pokok buah-buahan hutan, dipterocarps dan lain-lain spesies sasar dari hutan berhampiran petempatan mereka.

“Contohnya, kami bekerja dengan Orang Asli Jahai di Taman Negeri Royal Belum bagi mengumpul biji benih serta membangunkan tapak semaian pokok asal, menerusi kerjasama dengan The Habitat Foundation dan Perbadanan Taman Negeri Perak.

“Orang Asli Jahai daripada Kampung Klewang dan Kampung Sungai Tiang, Perak mengumpul biji benih pokok buah-buahan liar, dipterocarps dan lain-lain spesies dari hutan berhampiran petempatan mereka berasaskan keperluan TRCRC,” katanya.

Tambah beliau, TRCRC juga menyediakan latihan dan bimbingan kepada penduduk setempat yang mengetuai program itu di kampung mereka.

“Anak pokok kemudian dibeli melalui mekanisme belian semula anak pokok, yang mana syarikat korporat dan penaja lain boleh mendapatkan anak benih daripada masyarakat yang paling hampir dan paling terjejas oleh Central Forest Spine (tulang belakang hutan tengah),” katanya.   

Tanam pokok asal

Pengurus Besar Free Tree Society (FTS) Carolyn Lau berkata menanam pokok di perkarangan rumah adalah antara strategi paling berkesan bagi mengurangkan bahang kesan perubahan iklim, selain mewujudkan persekitaran yang lebih hijau dan cantik.

Katanya FTS bekerja tanpa mengenal lelah untuk memberi inspirasi kepada komuniti penjaga alam sekitar dengan memberikan mereka pokok secara percuma dan menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan alam sekitar sejak 2012.

“Setakat Februari 2023, kami telah memberikan 52,004 batang pokok kepada orang awam.

“Kesemua pokok kami ditanam daripada biji benih atau keratan daripada tapak semaian kami. Dari segi tenaga kerja, kami ada sukarelawan yang membantu dan kami juga melatih mereka sebagai penjaga alam sekitar. Adanya mereka membolehkan kami terus memberikan pokok secara percuma,” katanya, menambah FTS mempunyai dua tapak semaian iaitu di Bangsar dan Taman Tugu. 

Sekalipun bagi tempoh 2020-2022 menyaksikan sekatan pergerakan, FTS berjaya menanam lebih 500 batang pokok asal di Denai Pulai, Bukit Persekutuan yang terletak di belakang tapak semaiannya di Bangsar. 

Menurut beliau, tanah di kawasan itu adalah milik kerajaan dan FTS berperanan menguruskan denai hutan bandar tersebut yang juga tapak popular untuk program berasaskan alam sekitar yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan berkenaan.

“Ketika era penjajahan British, Bangsar dan Bukit Persekutuan merupakan kawasan ladang, dan sekalipun ia kini dianggap hutan sekunder, orang ramai masih boleh melihat pokok getah dewasa dan juga anak pokok.

“Satu daripada matlamat projek Denai Pulai ialah untuk memperbanyak semula biodiversitinya. Satu lagi matlamatnya ialah untuk memastikan hutan kecil ini menjadi kawasan kesayangan masyarakat; kami dapat lihat ada bahagian lain di bandar raya ini yang dilindungi oleh masyarakat setempat kerana mereka menghargai kawasan hijau mereka.

“Penanaman semula ini juga bertujuan menyokong hidupan liar di kawasan itu, dan akhirnya meningkatkan biodiversiti,” ujarnya. 

Perunding arkitek landskap itu berkata kaedah terbaik untuk mengurangkan bahang di kawasan bandar adalah menerusi penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti menanam semula pokok.

“Kita boleh mengurangkan hawa panas di bandar raya kita dengan menanam lebih banyak pokok selain membuat pengubahsuaian lain di hutan batu ini.

“Kita perlu mempertingkat landskap semula jadi dengan mewujudkan kebun menegak di bangunan tinggi, menanam pokok di antara lorong jalan raya serta membina lebih banyak taman.

“Ini akan memberi naungan dan meningkatkan lagi aliran angin yang dapat menghentikan peningkatan suhu,” tambah beliau. – BERNAMA

- Advertisement -