PMX perlu waspada dengan survei populariti 68 peratus

- Advertisement -

10 FEBRUARI lepas, Merdeka Centre telah mengeluarkan hasil survei yang dijalankan ke atas sebilangan responden bagi mengetahui tahap penerimaan semasa rakyat Malaysia terhadap Perdana Menteri ke-10 (PMX) dan Kabinet Kerajaan Gabungan.

Keputusan populariti sebanyak 68 peratus telah diterima PMX, manakala tahap penerimaan terhadap Kabinet Kerajaan Gabungan ini pula adalah pada angka 54 peratus. 

Alhamdulillah, mungkin pasukan PMX dan Kerajaan Campuran boleh menarik lafaz lega dengan hasil survei ini. Namun realiti semasa menunjukkan kelegaan ini mungkin boleh berubah bila-bila masa sahaja.

Pertamanya, adalah menjadi perkara normal bagi  pemimpin negara mendapat penerimaan yang baik pada awal-awal tenure pentadbiran. Pola yang sama boleh didapati daripada pemimpin negara lain. Namun apabila harapan dan jangkaan rakyat terhadap pemimpin ini tidak tercapai, penerimaan boleh jatuh merosot.

Contohnya dapat kita lihat daripada negara Jepun. Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri Fumio Kishida pada awalnya mendapat rating sebanyak 63 peratus. Namun lebih kurang setahun kemudian, apabila terpalit dengan kegagalan menguruskan isu pembunuhan mantan Perdana Menteri Shinzo Abe serta kelemahan membawa nafas baharu dalam gaya pentadbiran, penerimaan rakyat terhadap Kabinet Fumio Kishida dan Parti Liberal Demokrat jatuh merudum kepada 40.7 peratus sahaja pada September 2022. 

Popular awal itu tidak pelik, tetapi jika masih popular setelah beberapa tempoh sudah berlalu, itu baru patut dibanggakan. Sebenarnya, Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) juga mendapat Keputusan penerimaan yang lebih kurang sama iaitu penerimaan sebanyak 67 peratus. 

Bezanya, survei yang turut dihasilkan oleh Merdeka Centre ini dibuat pada tempoh April 2021, iaitu lebih kurang 1 tahun selepas pentadbiran TSMY. Manakala, Survei Merdeka Centre terhadap PMX pula dibuat dalam tempoh lebih kurang 3 bulan daripada pentadbiran PMX.

PMX perlu lebih berhati-hati dan memanfaatkan sepenuhnya tempoh ‘honeymoon’ Kerajaan Gabungan ini. Aksi populis seperti menghadiri solat Jumaat, menziarahi warung rakyat dan siri-siri pertemuan dengan figura besar politik mungkin memberikan faktor ‘wow’ dan menambahkan wajah berkredibiliti kepada rakyat.

Akan tetapi, rakyat membuat pilihan pada PRU15 yang lepas adalah demi memilih pentadbiran baharu negara yang mampu menguruskan masalah rakyat dan mengangkat kebajikan mereka dengan sebaik-baiknya. 

Dalam keadaan isu kos sara hidup yang masih memerlukan masa panjang untuk diuruskan, cabaran inflasi tidak terkawal peringkat global masih berterusan serta kegagalan demi kegagalan pemimpin Kerajaan Campuran mematuhi janji-janji yang pernah diutarakan, PMX dan barisan menteri kerajaan campuran tidak boleh duduk selesa.

Kalian perlu lebih serius berkhidmat sebagai kerajaan kepada semua rakyat. Bukan kepada penyokong PH-BN sahaja.

UTHMAN CHE AZIZ
Pengerusi SiswaPAS Selangor – HARAKAHDAILY 20/2/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!