Pembinaan Hospital Maran perlu jadi kenyataan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Maran menggesa kerajaan PH-BN melaksanakan projek pembinaan hospital di daerah itu selepas projek itu diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

- Advertisement -

Dato’ Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkata, projek itu diluluskan oleh kerajaan sebelum ini bagi kemudahan rakyat di Maran memandangkan tiada hospital di daerah itu sehingga sekarang.

Katanya, projek tersebut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, namun tidak dilaksanakan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Di bawah kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Keluarga Malaysia, peruntukan untuk membina hospital itu diluluskan.

“Saya merakam ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluluskan peruntukan projek pembinaan hospital itu,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Tahun lepas, Dr Ismail dalam kenyataan media memberitahu projek pembinaan hospital yang dilulus pada 2018 dijangka dimulakan pada tahun 2023.

Menurutnya, kos pembinaan hospital itu dianggarkan sebanyak RM350 juta dan akan menjadi pusat sehenti bagi kajian penyakit berjangkit pertama di Pantai Timur. Tapak yang dicadangkan di Kampung Batu 55, Jalan Kuala Sentul-Maran.

“Saya berharap kerajaan sekarang melaksanakan projek tersebut yang sudah dilulus kerajaan sebelum ini,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu lebih selesa berada di bawah kerajaan PN dan Keluarga Malaysia yang memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.

Sehubungan itu, katanya kerajaan sekarang tidak boleh bersikap sombong sehingga sanggup melanggar lampu merah. – HARAKAHDAILY 20/2/23

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!