Kelantan rintis kilang komuniti hasil dedak bantu penternak

- Advertisement -

KESAN pandemik Covid-19 lebih dua tahun lepas menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia. Ramai kehilangan pekerjaan. Biarpun tempoh agak geting itu semakin berlalu, namun kesannya masih dirasai sehingga sekarang.

- Advertisement -

Antaranya yang masih dirasai peningkatan harga barangan keperluan harian. Biarpun kerajaan PH-BN berusaha mengimport telur dari luar negara, namun krisis itu belum selesai.

Isu asas tidak boleh diketepikan kerajaan. Harga dedak yang meningkat akibat wabak dan perang di Ukraine menyebabkan harga ayam dan telur tidak stabil di pasaran.

Begitu juga barangan keperluan asas lain. Ia turut diakui anggota Exco kerajaan Kelantan Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Katanya dalam tempoh agak panjang rantaian bekalan makanan mesti diteruskan kerana keperluan asas bagi setiap manusia.

“Sektor pertanian perlu terus berjalan biarpun bidang pekerjaan lain disekat akibat penularan wabak.

“Namun sektor pertanian berdepan dengan kenaikan kos input di mana harga racun dan baja berlaku peningkatan yang ketara.

“Kerajaan pusat sebelum ini wujudkan skim bantuan one off bagi membantu petani yang terjejas. Di Kelantan kita panggil Bantuan Sejahtera Tani untuk membantu petani-petani yang terksan akibat Covid-19 dan bencana alam,” katanya di sini.

Bantuan itu diagih melalui Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pelbagai agensi lain.

Bantuan Sejahtera Tani melibatkan peruntukan lebih RM1 juta, di samping bantuan dedak subsidi bagi mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung penternak.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, bagi membantu penternak yang berdepan dengan peningkatan kos dedah sekarang, kerajaan negeri mewujudkan kilang kecil-kecilan berbentuk komuniti bagi menghasilkan makanan ternakan.

Menurutnya kilang komuniti dibangunkan di Dun Jelawat, Limbongan dan Selising bagi membantu penternak mendapatkan makanan ternakan dengan harga rendah.

“Kerajaan negeri merancang mewujudkan kilang komuniti tersebut di 10 tempat sebagai pusat memproses makanan ternakan.

“Projek itu kita contohi kejayaan beberapa wilayah di Thailand dan Indonesia yang menyediakan kilang komuniti untuk menghasilkan makanan ternakan sendiri.

“Misalnya keluarkan untuk setiap hari 100 kilogram bagi menampung keperluan penternak yang tinggal di komuniti terbabit,” ujarnya.

Kata beliau kilang komuniti tersebut boleh ditingkatkan bagi mengeluarkan dedak sehingga 1,000 kilogram sehari dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Felda FGV.

Menurutnya formula menghasilkan dedak boleh dihasil penternak dengan campuran beberapa bahan termasuk isirung sawit dan rumput.

Katanya dedak yang dihasilkan menjalani testimoni selepas kajian dilakukan di makmal.

Tuan Mohd Saripudin berkata, projek menghasilkan dedak secara komuniti dapat menjimatkan banyak kos termasuk penglibatan orang tengah iaitu pemborong dan peruncit.

“Beberapa pihak mengambil untung di tengah jalan sehingga harga yang sampai kepada penternak begitu mahal.

“Dan apabila penternak mampu membuat sendiri ia dapat mengurangkan banyak kos. Jadi perkara ini kita sedang rancakkan diharap sedikit sebanyak dapat menampung keperluan dedak alternatif,” ujarnya.

Menjelaskan lagi perkara itu kata beliau kerajaan negeri membantu menyediakan mesin bagi memproses dedak, manakala bangunan pula disediakan penternak.

Katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Felda untuk menghantar isirung sawit dan bahan-bahan lain untuk penggemukan lembu atau kambing.

Menurutnya sudah ada beberapa jenama produk terbabit di Kelantan yang belum lagi dilancar secara rasmi.

“Kita tidak jenamakan secara rasmi lagi tapi semua itu dalam proses percubaan. Perbadanan Pembangunan Pertanian akan membuat kajian bagi membina kilang lebih besar dengan kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Bhd,” tambahnya.

Kata beliau perancangan kerajaan negeri itu disenaraikan dalam pakej rangsangan ‘food security’ belanjawan 2023 sebanyak RM10 juta.

Selain itu kerajaan negeri turut mendapat pandangan pakar-pakar bidang pertanian, penternakan dan perikanan. Ia dibincang dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Food Security yang dipengerusikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Kerajaaan Kelantan juga meneruskan program bantuan baja subsidi organik, sebanyak RM1.8 juta setahun yang dikendalikan di bawah Jabatan Pertanian.

Selain itu bantuan baja subsidi di bawah di bawah Exco Pertanian pula sebanyak RM700,000 di mana jumlah keseluruhan bagi program baja subsidi sebanyak RM2.5 juta setahun.

Ia turut merangkumi baja subsidi folia, bio hijau organik dan baja perawat tanah yang dihasilkan di kilang milik Kelantan Biotech di Labok Machang.

“Baja dihasilkan melalui kajian makmal. Dari segi penggunaan mendapat sambutan menggalakkan daripada petani,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!