Bila lagi suara Islamik mahu dipalu semula

- Advertisement -

KRISIS pegawai dengan pemimpin kerajaan pernah berlaku di Kelantan sebelum 1990. Ketika itu negeri terbabit di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang diketuai Mohamad Yaacob.

- Advertisement -

Krisis bermula apabila arahan pertukaran 20 pegawai tadbir negeri (PTN) oleh menteri besar dibatalkan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri. Bermula dari situ krisis berlaku sehingga membawa tumbang kerajaan BN pada pilihan raya umum (PRU) 1990.

Namun selepas isu itu lama menyepi, tiba-tiba muncul pula di bawah era Malaysia Madani. Biarpun suhunya belum sampai mendidih, namun kesannya mungkin akan dirasa selepas ini.

Tentunya ramai terkejut apabila sidang parlimen Khamis lepas mendedahkan ramai pegawai kanan ‘dipetisejukkan’. Isu begitu sudah lama tidak kedengaran.

Ketika pertukaran kerajaan BN kepada Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018 pun tidak kedengaran isu serupa. Kalau ada pun ketika itu pelantikan Peguam Negara menjadi bualan orang ramai.

Begitu juga era Kerajaan Prihatin dan Keluarga Malaysia tidak kedengaran ada pegawai kanan tersisih. Malah sering kali perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaacob memuji pegawai kerajaan yang bekerja siang malam ketika wabak Covid-19 memuncak.

Lebih-lebih lagi petugas kesihatan dan keselamatan yang dianggap berada di saf hadapan. Keringat dan jasa mereka dijulang perdana menteri.

Pegawai tidak septutnya dihukum lebih awal. Kalau ada bukti ada kes penyelewengan, individu terbabit boleh dihadap ke mahkamah.

Itu proses biasa. Namun, tidak pula kedengaran ada pegawai dimasuk dalam ‘pool’. Apa sebenarnya pool. Ada pegawai yang bisikkan, pool dimaksudkan ditukar jawatan tanpa ada bidang tugas yang jelas. Sekadar ada kerusi dan meja tanpa fail tugasan.

Ahli Parlimen Putrajaya Dr Mohd Radzi Md Jidin menyifatkan tindakan menempatkan pegawai kanan ke ‘pool’ sebagai tidak adil. Mereka seperti dicop sudah bersalah sebelum siasatan dilakukan.

Menurutnya tindakan itu satu kerugian kepada negara. Ini kerana khidmat dan kepakaran pegawai terbabit tidak digunakan secara optimum.

“Ia tidak adil kerana memberi gambaran negatif seolah-olah mereka melakukan kesalahan besar atau prestasi mereka teruk,” dakwa Dr Mohd Radzi ketika mendedahkan isu terbabit di parlimen.

Pada Disember lepas media turut mendedahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Asri Hamidin ditukar kerajaan PH-BN.

Asri dilantik ke jawatan terbabit pada 1 Mei 2020 oleh kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin Yassin. Pegawai berkenaan berkhidmat di bawah Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sebaliknya kerajaan PH-BN mewujudkan pula penasihat khas kewangan di Kementerian Kewangan. Panel tersebut diketuai Hassan Marican.

Pelantikan itu diumum Perdana Menteri pada 7 Februari lalu. Hassan mengetuai badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan.

Media melaporkan Hassan kemudian menjemput Nurul Izzah mengetuai secara bersama sekretariat yang dibentuk bagi menyokong operasi jawatankuasa terbabit.

Menurutnya sebuah sekretariat untuk menyokong operasi Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan terletak di Menara Berkembar Petronas.

Sebelum itu pada 3 Januari lepas Anwar mengumumkan anaknya dilantik penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.

Pada peringkat awal Anwar bermatian mempertahankan pelantikan Nurul Izzah. Katanya ada kelayakan dan pengalaman. Namun, selepas isu nepotisme berligar rancak akhirnya bekas ahli parlimen Permatang Pauh terbabit meletak jawatan.

Namun ‘dijemput’ pula menyertai sebuah sekretariat di Kementerian Kewangan. Biarpun nampak berbeza, namun isu sama masih berulang. Kata orang kampung keluar pintu depan, masuk pintu belakang.

Ketika ramai pengundi PH mengharap ada sentuhan ajaib Anwar mengetuai kerajaan baharu, namun ia seakan sukar muncul. Seperti tiada ‘political will’.

Ini bermakna 100 hari pertama perdana menteri menghampakan pengundi PKR. Wajah Islamik yang dekat dengan Anwar pada era 1980-an, belum kelihatan sinar baharu.

Seperti kata Dr Mohd Radzi, sekarang dayung sudah di tangan. Nah, bila lagi nekad suara Islamik mahu dipalu semula. Tidak memadai sekadar ucapan Salam Malaysia Madani tanpa ada kerangka hala tuju yang jelas.

Seperti kata seorang peguam, Ab Jalil Backer, madani jangan sekadar di bibir. – HARAKAHDAILY 20/2/2023

- Advertisement -