Tidak bincang isu politik bersama Dr Mahathir

Menteri Besar Kedah ketika bertemu Tun Dr Mahathir, minggu lalu.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tiada perbincangan politik ketika pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu.

- Advertisement -

Menteri Besar berkata, topik perbincangan hanya berkenaan sejarah, tanah, industri, pertanian termasuk berkenaan Bukit Malut di Langkawi.

“Saya minta sokongan beliau (Mahathir) untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat permohonan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Dia perlu bersuara juga sebab dia pencetus kepada Melayu Islam Kedah (MIK) dibawa ke situ (Langkawi). Dia tau sejarah,” kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran Kedah Cashless dan Penyampaian Geran Tanah di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, Dr Mahathir memberi kerjasama namun pada masa yang sama mengharapkan penjualan tanah berkenaan tidak terlalu mahal.

Menurutnya, pembangunan perumahan untuk MIK Bukit Malut merupakan projek MKN dan bukan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

MKN jelasnya perlu membuat pengambilan tanah untuk pemaju membangunkan rumah dan dijual kepada penduduk berkenaan.

Sementara itu, beliau tidak dapat pasti berhubung ura-ura bekas Pengerusi Pejuang itu akan menyertai PERIKATAN NASIONAL (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Itu saya tak pasti. Yang saya tulis ‘tunggu’ di laman sosial saya tu perkara lain,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu juga tiada halangan jika bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir menyertai PAS.

Beliau berkata, PAS adalah parti terbuka dan tidak menghalang mana-mana individu yang ingin bersamanya.

Mukhriz dikatakan mungkin akan menyertai PAS apabila mengadakan perjumpaan bersama beberapa pemimpin PAS, baru-baru ini.

Namun kata Sanusi, beliau tidak mengetahui intipati perbincangan itu.

“Kalau nak masuk PAS, bolehlah tapi kalau nak jadi Menteri Besar Kedah, susahlah sikit,” selorohnya. – HARAKAHDAILY 19/2/23

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!