Tamatkan kepercayaan salah mengenai penyakit epilepsi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai disaran mendapatkan maklumat yang tepat berhubung penyakit epilepsi (saraf otak) bagi menamatkan kepercayaan yang tidak benar berhubung penyakit itu.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Hilmi Abdullah berkata penyakit berkenaan boleh dikenal pasti untuk dirawat di peringkat awal.

“Rawatan awal akan membantu mengurangkan sawan kronik,” katanya ketika merasmikan Kempen Hari Kesedaran Epilepsi Sedunia Peringkat Negeri di Mydin Mall Tunjong dekat sini, hari ini.

Katanya, epilepsi adalah sejenis penyakit saraf otak yang disebabkan gangguan aliran elektrik otak tidak normal akan berlaku sawan atau nyetok dalam loghat Kelantan.

Hari Epilepsi Sedunia merupakan acara tahunan yang disambut di seluruh dunia setiap tahun pada Februari minggu kedua yang diadakan untuk mencetuskan kesedaran terhadap masyarakat berhubung penyakit terbabit.

Beliau bagaimanapun berkata, rawatan untuk penyakit berkenaan disediakan seperti ubat-ubatan yang berfungsi untuk menghentikan sawan.

Katanya 70 peratus pesakit epilepsi boleh hidup tanpa serangan sawan sekiranya ia dikenal pasti peringkat awal, manakala 30 peratus pula memerlukan rawatan lanjut sekiranya tiada tindak balas selepas ubat-ubatan diberikan.

“Kita berharap ibu bapa atau penjaga pesakit ini tidak berputus asa dalam memberikan rawatan kepada mereka terbabit, sebaliknya apa yang perlu menambahkan ilmu pengetahuan berhubung penyakit tersebut.

“Kerjasama erat antara organisasi terlibat seperti pakar neorologi, psikologi, neurosugeri serta kumpulan-kumpulan sokongan amat dialu-alukan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hilmi menyeru kempen-kempen kesedaran berhubung penyakit berkenaan sentiasa diadakan bagi memupuk kesedaran masyarakat.

Katanya juga kefahaman yang tidak benar berhubung penyakit berkenaan mesti ditamatkan segera supaya pesakit tersebut dapat menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Program berbentuk pameran dan ceramah kesedaran itu dianjurkan bersama Unit Neurologi dan Neurofisiologi Klinikal, Jabatan Perubatan, Hospital Universiti Sains Malaysia dan Hospital Raja Perempuan Zainab ll. – HARAKAHDAILY 19/2/23

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!