KUALA KRAI: Rakyat Kelantan khususnya mereka yang tinggal di Kuala Krai bakal memiliki sebuah masjid yang berkonsepkan seni bina Uzbekistan dianggar bernilai RM8 juta.
Masjid Ibnu Batutah itu akan dibina di tapak cadangan di belakang Pasaraya Pantai Timur Kuala Krai dengan majlis pecah tanah akan diadakan awal Mac ini.
Adun Guchil, Hilmi Abdullah berkata, masjid berkenaan menjadi keperluan memandangkan pertambahan mendadak penduduk berikutan pembinaan taman-taman perumahan baru sekitar Daskoh dan Taman Guchil Jaya, Mukim Kenor.
“InsyaAllah, masjid berkenaan akan memberi kemudahan kepada musafir untuk singgah bagi menunaikan solat kerana lokasinya yang strategik dan bakal menyediakan fasiliti dan kemudahan terkini,” ujarnya di sini.
“Pihak penaja jawatankuasa masjid menerima sebarang sumbangan termasuk bahan pembinaan selain sumber kewangan bagi menjayakan pembinaan Masjid Ibnu Batutah,” katanya selepas gotong royong membersih tapak pembinaan masjid tersebut.
Hadir sama Pengerusi Masjid Ibnu Batutah, Dr Azmi Yaakub dan pemimpin masyarakat tempatan.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai turut menjayakan pembinaan masjid tersebut yang bakal menjadi tarikan baru di Kuala Krai khususnya Guchil.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Masjid Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai (Masjid Ibnu Batutah) No Akaun: 03-072-01-013959-1 (BIMB). – HARAKAHDAILY 19/2/23
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!