Bermacam tuduhan, Muhyiddin teliti tindakan perundangan

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beliau untuk memberi kenyataan, bukan sebagai suspek dalam projek Jana Wibawa.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau memberikan kerjasama yang baik ketika memberi kenyataan dan SPRM juga menjalankan tugas mereka dengan baik.

Begitupun, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan pasukan peguamnya sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap beberapa tuduhan yang dikenakan terhadapnya, lapor portal bersatu.org.

“Kita dah minta peguam kita teliti. Tak berhenti-henti fitnah terhadap saya. Anda semua baca, anda media, tuduhan macam-macam, media arus perdana bawa berita itu, televisyen pun bawa berita itu.

“Saya ini dah 50 tahun dalam kerajaan, tiada kes tuduhan rasuah kepada saya. Tiada salah guna kuasa. Bukan nak kata itu tapi tak report saya lama-lama dulu masa Timbalan Perdana Menteri? Tiada.

“Saya ikut peraturan. Saya nak tegaskan saya pegang teguh pada keluhuran undang-undang tapi mereka tak yakin. Mereka golongkan saya macam golongan perompak yang lain. Saya tidak begitu,” katanya sidang media selepas melancarkan Blood Donation Drive Anjuran Yayasan TSM Charity Golf di sini, semalam.

Beliau menegaskan ada prinsip dan akan sentiasa berpegang kepada prinsip yang benar.

Muhyiddin turut meluahkan kekecewaan dengan beberapa kenyataan yang seolah-olah menuduh beliau salah guna kuasa dan rasuah.

“Sesuatu perkara seperti itu tidak seharusnya mudah dikeluarkan kenyataan sampai hari ini… macam menuduh ini serius, yang dituduh ini, saya mantan Perdana Menteri, saya juga Pengerusi Perikatan Nasional.

“Tapi saya tahu muslihatnya adalah politik supaya orang akan marah saya orang fikir saya perompak, penipu salah guna kuasa.

“Pertama kalau tidak curi duit, rasuahlah, tapi dia kata saya salah guna kuasa? Adakah saya salah guna kuasa?

“Di mana pihak berkuasa tapi undang-undang, ada Akta Perbendaharaan Kewangan. Itu bukan di peringkat saya, itu di peringkat Kementerian Kewangan. Kalau saya luluskan pun tidak sah,” ujarnya.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tata cara perolehannya dibuat mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Menurutnya, penangguhan projek melibatkan nilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.

Sementara itu, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi Instagram menyatakan bersedia untuk memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung Jana Wibawa.

Baginya, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung dana projek itu.

“Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!